Siti Nurhaliza menerima Ijazah Sarjana Kehormat dalam bidang Seni Kreatif dan Media daripada Sunway University sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan besarnya kepada industri seni negara.

KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin menyifatkan pengiktirafan Ijazah Sarjana Kehormat dalam bidang Seni Kreatif dan Media daripada Sunway University satu penghormatan yang sangat besar buat dirinya.

Penghibur berusia 47 tahun itu berkata, ia bukan sahaja penghargaan untuk perjalanan seni dirinya seorang tetapi juga satu pengiktirafan tertinggi buat seluruh warga industri muzik dan seni kreatif tanah air.

“Terima kasih kepada pihak pengurusan Sunway University di atas penghormatan yang cukup bermakna ini. Pengiktirafan ini membuktikan bahawa bidang seni kreatif dan media adalah satu profesion yang sangat berprestij dan dihormati oleh dunia akademik.

“Semoga anugerah ini menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda dan pengamal seni tempatan untuk terus berkarya dengan mutu yang tinggi, beretika dan membawa seni budaya kita ke peringkat yang lebih tinggi,” tulis di Facebook.

Pada Istiadat Konvokesyen Sunway University itu semalam, Siti turut menghiburkan tetamu dengan mempersembahkan lagu Sejarah.

Pengiktirafan berkenaan diberikan sebagai menghargai sumbangan cemerlang serta perjalanan seni beliau yang memberi inspirasi kepada industri hiburan negara.

Sebelum ini, pada 2019, Siti turut menerima Anugerah Pencapaian Seumur Hidup Selebriti daripada Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai mengiktiraf sumbangan besarnya kepada industri hiburan tanah air. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast