KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia berjaya menetapkan harga bagi terbitan Sukuk Global dalam dolar Amerika Syarikat (AS$) bernilai AS$1.5 bilion dengan mencatat lebihan langganan sebanyak 4.7 kali dengan permintaan pelabur yang melebihi AS$9.5 bilion.
Terbitan berkenaan merangkumi sukuk bernilai AS$850 juta dengan tempoh matang 5.75 tahun dan AS$650 juta bagi tempoh matang 10 tahun.
Kementerian Kewangan berkata, permintaan yang kukuh ini
membolehkan kerajaan menetapkan harga akhir terendah sebanyak 30 mata asas daripada Panduan Harga Awal (IPG) kepada T+15 mata asas bagi tranche 5.75-tahun dan sebanyak 30 mata asas kepada T+25 mata asas bagi tranche 10-tahun, sekali gus mencapai kadar spread terendah pernah dicatatkan bagi terbitan sukuk global Malaysia.
Terbitan ini membuktikan kedudukan Malaysia dalam pasaran kewangan antarabangsa dengan penetapan penanda aras baharu yang akan berfungsi sebagai panduan harga yang penting untuk terbitan global baharu entiti berkaitan kerajaan dan sektor swasta negara, kata Kementerian Kewangan.
Sementara itu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah berkata, pencapaian itu mencerminkan keyakinan berterusan pelabur antarabangsa terhadap prospek ekonomi Malaysia serta dasar pembangunan negara.
Beliau berkata, dasar ekonomi negara yang berpandukan kerangka Ekonomi Madani telah memperkukuh kewangan awam, memastikan pertumbuhan ekonomi mampan serta membina daya tahan ekonomi dalam jangka panjang.
“Lebihan langganan yang tinggi dengan kadar spread terendah mencerminkan keyakinan berterusan pelabur antarabangsa terhadap prospek ekonomi dan dasar pembangunan negara yang kukuh.
“Ia membuktikan bahawa agenda pembaharuan, strategi pengurusan hutang berhemat dan komitmen terhadap pertumbuhan mampan terus menarik sokongan pelabur berkualiti tinggi meskipun berdepan persekitaran global mencabar,” katanya.
Kementerian Kewangan menambah, sambutan menggalakkan terhadap penerbitan sukuk itu turut mencerminkan hasil usaha selepas tiga tahun pelaksanaan kerangka Ekonomi Madani yang dilancarkan pada 27 Julai 2023 yang bertujuan meningkatkan potensi ekonomi negara, memperkukuh kesejahteraan rakyat serta memperbaiki tatakelola dan institusi awam.
Dalam tempoh sama, defisit fiskal negara berjaya dikurangkan daripada 6.4 peratus kepada 3.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2025, manakala pinjaman kerajaan berkurang kepada 9 peratus daripada KDNK berbanding 13.6 peratus sebelumnya.
Kedudukan fiskal yang lebih kukuh itu turut disokong pertumbuhan ekonomi yang mencatat 5.2 peratus pada 2024 dan 2025, selain jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM431.1 bilion pada 2025 serta nilai perdagangan negara melepasi RM3 trilion buat kali pertama kepada RM3.06 trilion.
Momentum pertumbuhan berterusan pada 2026 apabila ekonomi Malaysia berkembang 5.4 peratus pada suku pertama, manakala anggaran KDNK awal bagi suku kedua menunjukkan pertumbuhan 5.8 peratus, jelas kementerian itu lagi.
Sukuk berkenaan disandarkan kepada aset meliputi hak perkhidmatan dalam rangkaian pengangkutan rel awam bandar di Malaysia dan distrukturkan berdasarkan konsep Manafae selaras dengan garis panduan Accounting and Auditing Organization for Islamic Financial Institutions (AAOIFI).
Terbitan itu menerima penarafan A3 daripada Moody’s Investors Service dan A- daripada S&P Global Ratings, sejajar dengan penarafan kredit berdaulat Malaysia serta prospek stabil.
Bagi tranche 5.75 tahun, kadar keuntungan ditetapkan pada 4.612 peratus setahun, bersamaan spread 15 mata asas berbanding kadar hasil Bil Perbendaharaan AS dengan tempoh matang sama.
Manakala tranche 10 tahun ditetapkan pada kadar keuntungan 4.949 peratus setahun, bersamaan spread 25 mata asas.
Program libat urus bersama pelabur berjaya menarik penyertaan 140 pelabur antarabangsa daripada pelbagai segmen termasuk dana kekayaan berdaulat, bank pusat, kerajaan asing, pengurus aset, institusi kewangan, syarikat insurans dan dana persaraan.
Dari segi taburan geografi, sukuk 5.75 tahun menerima penyertaan pelabur Asia sebanyak 76 peratus, diikuti Eropah, Timur Tengah dan Afrika (EMEA) sebanyak 19 peratus serta Amerika Syarikat lima peratus.
Bagi sukuk 10 tahun pula, pelabur Asia menyumbang 63 peratus, EMEA 18 peratus dan Amerika Syarikat 19 peratus.
Dari segi jenis pelabur, terbitan bertempoh matang 5.75-tahun telah diagihkan kepada bank dan institusi kewangan (43%), pengurus dana dan aset (27%), bank pusat serta bank korporat dan swasta (15%), dana kekayaan berdaulat dan institusi sektor awam (8%) serta syarikat insurans dan dana persaraan (7%).
Manakala, terbitan bertempoh matang 10-tahun pula diagihkan kepada pengurus dana dan aset (59%), institusi kewangan dan bank (30%), bank swasta dan korporat (7%) dan bank pusat (4%).
Hasil penerbitan sukuk itu akan digunakan bagi tujuan am yang patuh Syariah termasuk membiayai perbelanjaan pembangunan dan pembiayaan semula obligasi sedia ada kerajaan.
CIMB, HSBC, J.P. Morgan dan Standard Chartered Bank bertindak sebagai Pengurus Utama Bersama serta Pengurus Buku Bersama bagi penerbitan tersebut.
Terbitan sukuk itu dilaksanakan selaras dengan perundangan Regulation S dan Rule 144A di bawah Akta Sekuriti Amerika Syarikat 1933 serta akan disenaraikan di Hong Kong Stock Exchange, Labuan International Financial Exchange dan Bursa Malaysia di bawah Exempt Regime. – MalaysiaGazette
















