PORT DICKSON – Malaysia akan meneruskan rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) berhubung isu tarif perdagangan sekiranya masih terdapat aspek yang dilihat tidak berpihak kepada negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Setakat ini, menurut Perdana Menteri, Malaysia menerima tarif baharu seperti yang diputuskan negara berkenaan.
Bagaimanapun, ujarnya, rundingan berkenaan perkara itu masih berlangsung yang kini diteruskan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani selepas Malaysia sebelum ini mengutuskan bekas menteri, Datuk Seri Tegku Zafrul Abdul Aziz.
“Setakat ini kita terima, dan kalau kita ada beberapa aspek yang kita tak puas hati, kita akan bangkitkan lagi.
“Tapi sekurang-kurangnya sekarang kita rasa lega kerana tarifnya relatif rendah ketimbang dengan banyak negara lain,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Program Semarak Kenegaraan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di sini, hari ini.
Terdahulu, AS mengumumkan tarif baharu terhadap 60 rakan dagangnya bagi menggantikan tarif global yang diperkenalkan awal tahun ini susulan kebimbangan mengenai amalan buruh paksa.
Malaysia adalah antara 17 negara yang dikenakan tarif sebanyak 10 peratus bersama Argentina, Bangladesh, Kemboja, Kanada, Ecuador, El Salvador, Guatemala, Honduras, India, Indonesia, Jordan, Mexico, Pakistan, Sri Lanka, United Kingdom serta Trinidad dan Tobago.
Tarif baharu itu berkuat kuasa hari ini dengan kadar antara 10 hingga 12.5 peratus, melibatkan beberapa ekonomi utama dunia termasuk China, India dan Kesatuan Eropah (EU). – MalaysiaGazette
















