PERMATANG PAUH – “Saya tidak setuju sama sekali mana-mana tanggapan yang menghina atau mengenepikan peranan mana-mana kaum di negara kita.”

Demikian tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika diminta mengulas kenyataan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mendakwa Malaysia merupakan satu-satunya Tanah Melayu yang menjadi tempat perlindungan bagi masyarakat pribumi, berbeza dengan kaum lain yang mempunyai negara asal masing-masing.

Anwar berkata, Malaysia sudah merdeka lebih 50 tahun dan mana-mana pemimpin bertanggungjawab tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan yang menghina kehadiran kaum lain.

“Negara sudah merdeka lebih 50 tahun. Jadi saya fikir, mana-mana pemimpin yang bertanggungjawab tidak akan mengeluarkan kenyataan begitu, kerana ia menghina kehadiran lain-lain kaum.

“Orang Melayu pun majoriti memang asalnya dari Tanah Melayu, bukan dari Indonesia, ada juga keturunan Cina, ada juga keturunan Korea, dan kita tidak boleh tolak mereka sebagai bukan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Perasmian Pembukaan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Tahir Jalaluddin dan Pelancaran Program Nuqaba di sini, hari ini..

Tambah Anwar, masyarakat Cina dan India yang taat kepada negara, menerima Perlembagaan serta menjadi warganegara yang baik perlu dirangkul sebagai kekuatan Malaysia.

“Apa lagi di kalangan masyarakat Cina, India, yang taat, yang terima perlembagaan, yang menjadi warganegara yang baik, harus kita rangkul sebagai kekuatan Malaysia.

“Saya tidak setuju sama sekali mana-mana tanggapan yang menghina atau mengenepikan peranan mana-mana kaum di negara kita,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah mendakwa, kuasa politik dan penguasaan ekonomi orang Melayu semakin terhakis dan berdepan risiko hilang sepenuhnya dalam tempoh 10 tahun jika tiada perubahan drastik dilakukan.

Beliau turut menyamakan kepimpinan Melayu dalam kerajaan seperti watak pengkhianat bangsa ‘Buang’ dalam filem klasik Sarjan Hassan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast