Pengarah Pilihan Raya Parti Wawasan Negara Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard bercakap kepada pemberita pada sidang media di Bilik Gerakan Utama Parti Wawasan Negara di Taman Bukit Kepayang, Seremban, hari ini.

SEREMBAN – Parti Wawasan Negara mendakwa penyertaan Bersatu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bukan bertujuan untuk membentuk kerajaan, sebaliknya hanya bagi memecahkan undi sekali gus memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH).

Pengarah Pilihan Rayanya, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard, berkata dakwaan itu berdasarkan maklumat yang diterimanya daripada beberapa bekas pemimpin dan ahli Bersatu yang bertindak meninggalkan parti berkenaan sebelum hari penamaan calon.

Menurut beliau, antara individu terbabit ialah bekas Ketua Armada Bersatu Seremban, Alif Asyraf Azman, selain bekas Naib Ketua Bahagian Bersatu Tampin, Aziz Kamarudin serta bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemas, Ridzuan Ahmad yang kini bertanding atas tiket Parti Wawasan Negara.

“Dakwaan mereka jelas bahawa strategi Bersatu bukan untuk menang pilihan raya tetapi hanya untuk memecahkan undi sehingga memberi laluan kepada kemenangan PH.

“Sebab itu mereka memilih keluar daripada Bersatu kerana tidak mahu menjadi calon semata-mata untuk memecahkan undi,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama Parti Wawasan Negara di Taman Bukit Kepayang, di sini, hari ini.

Pengarah Pilihan Raya Parti Wawasan Negara Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard bercakap kepada pemberita pada sidang media di Bilik Gerakan Utama Parti Wawasan Negara di Taman Bukit Kepayang, Seremban, hari ini.

Chegubard mendakwa, Alif sebelum ini sudah dimaklumkan bakal dicalonkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng, namun membuat keputusan menarik diri selepas mendakwa menyedari strategi sebenar parti itu.

Beliau berkata, perkara sama turut berlaku di DUN Klawang dan Gemas apabila calon-calon yang pada asalnya dikaitkan dengan Bersatu memilih menyertai Wawasan Negara sebelum penamaan calon.

“Orang yang sepatutnya menjadi calon akhirnya menarik diri kerana mereka sedar pertandingan itu bukan bertujuan untuk menang tetapi sekadar memecahkan undi,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Chegubard turut mendakwa enam dari tujuh cawangan Bersatu di Tampin dibubarkan selepas ahlinya hilang keyakinan terhadap hala tuju parti berkenaan.

Menurutnya, hanya satu cawangan di Taman Sentosa masih kekal bersama Bersatu, manakala lebih 1,000 ahli dari enam cawangan berkenaan didakwa keluar parti.

“Keadaan sama berlaku di beberapa kawasan lain termasuk Jelebu dan Seremban,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa pengundi supaya tidak memberikan sokongan kepada calon-calon Bersatu kerana mendakwa tindakan berkenaan hanya akan memberi kelebihan kepada PH.

“Jangan bazirkan undi anda kepada calon Bersatu kerana pada pandangan kami, undi kepada Bersatu sama seperti memberi kelebihan kepada PH,” katanya.

Mengulas kerjasama Parti Wawasan Negara bersama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), Chegubard berkata parti itu berperanan sebagai jambatan bagi menyatukan kedua-dua gabungan dalam menghadapi PRN Negeri Sembilan.

“Undi BN bererti undi PN dan undi PN bererti undi BN. Kita mahu membina kerajaan yang stabil melalui kerjasama ini.

“Sebaliknya, jika pengundi memilih Bersatu, ia hanya akan memecahkan undi dan akhirnya menguntungkan PH,” katanya.

Terdahulu, Alif Ashraf dalam sidang media sama mendakwa beliau meletakkan jawatan sebagai Ketua Armada Bersatu Seremban pada 13 Julai lalu selepas enggan meneruskan hasrat bertanding kerana mendakwa strategi parti itu hanya untuk memecahkan undi.

Bekas Naib Ketua Bahagian Bersatu Tampin, Aziz Kamarudin

Sementara itu, Aziz Kamarudin pula mendakwa beliau bersama beberapa pimpinan dan ketua cawangan Bersatu di Tampin mengambil keputusan meninggalkan Bersatu.

“Saya bersama rakan-rakan lain hilang keyakinan terhadap hala tuju kepimpinan serta strategi pilihan raya yang didakwa memberi kelebihan kepada PH. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast