KOTA TINGGI – Seorang wanita mengalami kerugian RM119,599 selepas terpedaya skim pelaburan XM Royal dalam Facebook yang sebenarnya tidak wujud bulan ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, mangsa warga tempatan berusia 58 tahun mendakwa ditipu pelaburan tersebut sebelum membuat laporan polis semalam.
“Semuanya bermula apabila mangsa melihat iklan pelaburan XM Royal pada 19 Julai lalu. Sindiket itu menjanjikan pulangan lumayan RM15,000 dalam tempoh dua jam untuk modal serendah RM300 sekiranya melabur.
“Mangsa kemudian memindahkan RM119,599.24 menerusi lapan transaksi ke akaun penerima yang berbeza,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Beliau berkata, mangsa kemudian menyedari ditipu apabila mahu mendapatkan keuntungan hasil pelaburannya seperti dijanjikan tetapi disekat.
Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Pihaknya menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya pelaburan yang menjanjikan keuntungan besar dalam masa singkat.
Tambah beliau, orang ramai boleh mendapatkan maklumat berkaitan modus operandi jenayah Komersil terkini dengan mengikut laman sosial Jabatan Siasatan Jenayah Komersil seperti Facebook, Instagram dan TikTok. – MalaysiaGazette
















