Anwar merasmikan Himpunan Usahawan Bumiputera Pulau Pinang (HUBPP) dan Pameran Perdagangan Halal Antarabangsa Pulau Pinang (PIHEX) Kali ke-14 di Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang hari ini.

PERMATANG PAUH – Malaysia perlu memperkukuh keseluruhan ekosistem industri halal dan tidak hanya bergantung kepada pensijilan halal sebagai pemacu utama pertumbuhan sektor berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kelebihan industri halal negara bukan sekadar terletak pada pengiktirafan sijil halal malah memerlukan kerjasama yang lebih erat antara badan pensijilan, pemain industri dan rakan strategik bagi memastikan sektor itu terus berkembang secara mampan di peringkat global.

Beliau berkata, dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, kerajaan menumpukan usaha memperkasa industri halal tempatan agar Malaysia tidak hanya mengeksport pensijilan halal, malah turut membangunkan ekosistem industri yang lebih berdaya saing.

“Dalam dua tahun ini, saya menekankan (bahawa) kita tidak hanya harus eksport sijil halal. Kekuatan kita bukan saja pensijilan, tetapi mesti ada sinergi di antara sijil dan industri,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Himpunan Usahawan Bumiputera Pulau Pinang (HUBPP) dan Pameran Perdagangan Halal Antarabangsa Pulau Pinang (PIHEX) Kali ke-14 di Politeknik Seberang Perai di sini.

Anwar.

Hadir sama, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, beberapa negara termasuk Vietnam, China, Brazil dan Afrika Selatan menunjukkan minat untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam memperluas industri halal serta mendapatkan pensijilan dan pengiktirafan halal negara ini.

Bagaimanapun aspek pemantauan dan kesinambungan industri perlu diberi perhatian supaya pengiktirafan halal Malaysia terus dipandang tinggi di peringkat antarabangsa, katanya.

“Industri halal mempunyai potensi besar sekiranya tadbir urus diperkemas dan penyelewengan dapat dielakkan.

“Bila dunia iktiraf kita, industri halal di Malaysia boleh berkembang dan kita mengharapkan ia menjadi industri halal terbaik dan paling cemerlang di dunia,” katanya.

Pada majlis sama, Anwar mengumumkan peruntukan dana permulaan RM5 juta bagi memperkukuh penglibatan syarikat Bumiputera dalam industri semikonduktor negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast