JOHOR BAHRU – Kerajaan Negeri Johor perlu bertanggungjawab terhadap masa depan, kos perubatan serta sara hidup budak perempuan yang terjatuh dari bangunan flat Program Perumahan Rakyat (PPR) Desa Mutiara di sini pada Mac lalu.
Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Desa Mutiara, Nasir Abdullah mendakwa, sekiranya punca kejadian tersebut diberikan perhatian sebelum ini selepas mendapat aduan, nasib malang itu mungkin tidak menimpa Laila Annisa Aulia Mohd Khairul.
Punca kanak-kanak tersebut yang berusia sembilan tahun itu jatuh kerana jeriji sedia ada di tingkat dua bangunan flat tersebut sudah rosak, katanya.
Dia menafikan kenyataan kerajaan negeri selepas kejadian itu mendakwa jeriji penghadang itu sudah dipasang 15 tahun lalu sebaliknya baru berusia dua tahun.
“Jeriji penghadang itu dipasang dua tahun lalu dan bukan berusia lebih 15 tahun. Masih banyak jeriji yang mengalami kerosakan serta penduduk kecewa kerana tiada tindakan telus.
“Selain besi jeriji, usaha pembaikpulihan juga seharusnya dijalankan terhadap sistem perpaipan yang bocor, pendawaian serta kemudahan parkir di kawasan ini.
“Kami tidak mahu kejadian menimpa Laila Annisa Aulia berulang,” katanya.
Dia berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan dan sumbangan disampaikan oleh Pengurus Besar Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam di rumah kanak-kanak itu hari ini.
Keluarga berkenaan menerima sumbangan barangan dapur bernilai RM1,000 daripada Pasaraya Econsave Cash And Carry Cawangan Taman Daya.
Pada 22 Mac lalu, portal ini melaporkan kejadian Laila Annisa terjatuh dari tingkat dua flat tersebut sehingga mengalami kecederaan kritikal.
Kejadian itu berlaku pada 2 Syawal semasa Laila Annis dan keluarga pulang ke rumah di flat itu selepas beraya.
Selepas tiba di parkir kereta pada pukul 11 malam, Laila Annisa bergerak ke tingkat dua bagi menyaksikan bunga api dan secara tiba-tiba dia terjatuh apabila jeriji penghadang besi tumbang.
Selain kecederaan di bahagian kepala, Laila Annisa juga patah tangan kanan selain mengalami kecederaan di bahagian wajah berikutan dihempap besi jeriji penghadang.
Kanak-kanak terbabit yang sudah menjalani kini mengalami masalah penglihatan dan sakit kepala serta tidak dapat lagi ke sekolah.
Susulan itu kerajaan negeri pada 24 Mac lalu umum peruntukkan RM3 juta bagi menukar semua jeriji penghadang di PPR Desa Mutiara yang berusia 15 tahun.- MalaysiaGazette















