Presiden Persatuan Dinamik Sinar Kasih (DSK), Datuk N Sivakumar

KUALA LUMPUR – Majlis Kuil-Kuil Hindu & Persatuan-Persatuan Agama Hindu Malaysia (Mahima) menggesa semua pihak menghentikan penggunaan agama dan sentimen perkauman sebagai alat politik kerana  tindakan sedemikian hanya akan memecahbelahkan rakyat serta menggugat keharmonian yang sekian lama menjadi asas kekuatan negara.

Presidennya, Datuk Sivakumar Nadarajah berkata, Malaysia dibina hasil sumbangan seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang, justeru tiada mana-mana pihak wajar mempertikaikan kedudukan seseorang sebagai rakyat Malaysia hanya berdasarkan asal-usul keturunan atau kepercayaan mereka.

Menurut beliau, masyarakat Melayu, Cina, India, Orang Asli serta pelbagai komuniti lain telah bersama-sama menyumbang tenaga, kepakaran dan pengorbanan dalam membangunkan negara sejak sebelum merdeka sehingga hari ini.

“Pada hari ini, kita semua adalah rakyat Malaysia yang berkongsi tanah air, Perlembagaan serta tanggungjawab yang sama untuk mempertahankan keamanan, kemajuan dan masa depan negara.

“Agama yang menjadi pegangan suci setiap penganut tidak seharusnya diperalatkan untuk meraih keuntungan politik atau digunakan bagi menimbulkan kebencian, ketakutan mahupun perpecahan dalam kalangan masyarakat,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Beliau berkata, semua pemimpin mempunyai hak untuk berkempen dan menyampaikan pandangan kepada rakyat.

Namun kebebasan itu perlu disertai rasa tanggungjawab supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan syak wasangka atau menggugat hubungan antara kaum dan agama.

Katanya, persoalan yang perlu direnungkan bersama ialah bagaimana kebebasan beragama dapat terus dipelihara sekiranya perpaduan negara gagal dipertahankan.

“Kekuataan Malaysia sentiasa terletak pada kepelbagaian masyarakatnya, manakala perbezaan agama, budaya dan bangsa seharusnya menjadi sumber kekuatan yang perlu terus dipelihara, bukannya dijadikan alasan untuk memecahbelahkan rakyat,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan keuntungan politik hanya bersifat sementara, namun kesan perpecahan akibat memainkan sentimen kaum dan agama boleh berlarutan serta mengambil masa yang panjang untuk dipulihkan.

Sehubungan itu, beliau menghargai mana-mana pemimpin yang berani mempertahankan perpaduan negara tanpa mengira fahaman politik, sama ada daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) atau mana-mana gabungan lain.

“Malaysia memerlukan lebih ramai pemimpin yang membawa mesej penyatuan, kesederhanaan dan saling menghormati.

“Rakyat mahu melihat pemimpin memberi tumpuan kepada usaha membangunkan negara dan menyelesaikan masalah rakyat, bukannya mengeluarkan kenyataan yang boleh menghakis perpaduan.

“Mahima menyeru semua pihak supaya terus mempertahankan nilai hormat-menghormati, toleransi dan semangat muhibah agar Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang aman, makmur dan bersatu,” tegasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast