Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin selepas Mesyuarat UMNO Bahagian Pasir Gudang di Bandar Seri Alam, Pasir Gudang, hari ini.

PASIR GUDANG – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menafikan dakwaan bahawa Malaysia ada menyertai latihan ketenteraan yang melibatkan Israel.

Tegas beliau, pegawai- pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hanya dihantar untuk mengikuti kursus dan latihan profesional di luar negara termasuk di Amerika Syarikat (AS) bagi meningkatkan keupayaan serta kemahiran.

“Setakat ini, kita bukan menyertai latihan ketenteraan seperti yang didakwa. Kita hantar pegawai kita mengikuti kursus-kursus dan latihan profesional, ada yang mengambil masa setahun, setahun setengah malah sehingga dua tahun,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang berkata demikan dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Pasir Gudang di Bandar Seri Alam di sini hari ini.

Tambah beliau, hubungan pertahanan Malaysia dengan negara lain, termasuk AS, tidak menjejaskan dasar luar negara yang konsisten menolak Israel.

Katanya, sejak dahulu lagi Malaysia mengekalkan pendirian tidak menerima kemasukan rakyat Israel walaupun pernah berdepan pelbagai bentuk tekanan dan tawaran daripada negara luar.

Menurut Mohamed Khaled, tindakan menguatkuasakan larangan terhadap mana-mana individu dari Israel, termasuk berkaitan pelaksanaan dasar melibatkan rangkaian sekolah antarabangsa, hanya sebahagian pelaksanaan dasar sedia ada yang dipersetujui kerajaan sejak dahulu.

“Soal hubungan ataupun sikap kita terhadap Israel, dasar itu memang telah diamalkan daripada dulu. Apa yang berlaku sekarang hanyalah pelaksanaan dasar negara ini.

“Kalau ada orang Israel, tindakan mengusir atau tidak membenarkan mereka masuk adalah pelaksanaan kepada satu dasar yang semua orang sudah tahu iaitu Malaysia tidak mengiktiraf negara Israel,” katanya.

Mengulas gesaan lapan Ahli Kongres Amerika Syarikat (AS) yang mengemukakan pandangan kepada kerajaan negara itu berhubung pendirian Malaysia terhadap Israel, Mohamed Khaled berkata, perkara berkenaan adalah urusan antara mereka dengan kerajaan AS.

“Itu pandangan Ahli Kongres. Itu antara mereka dengan kerajaan mereka. Dasar Malaysia tetap sama dan tidak berubah,” katanya lagi.

Rabu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia akan terus menyekat kemasukan warganegara Israel ke negara ini meskipun lapan Ahli Kongres AS menyuarakan rasa tidak berpuas hati terhadap keputusan tersebut.

Lapan Ahli Kongres daripada Parti Demokrat itu ialah Greg Landsman, Josh Gottheimer, Jimmy Panetta, Dan Goldman, Debbie Wasserman Schultz, Jared Moskowitz, Brad Sherman dan Jake Auchincloss.

Anwar berkata, pendirian Malaysia berasaskan prinsip mempertahankan hak rakyat Palestin serta menentang kezaliman, pencerobohan dan pembunuhan berterusan yang berlaku di Gaza.- MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast