SEREMBAN – Rakyat Negeri Sembilan dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan manifesto lama Barisan Nasional (BN) yang didakwa masih tertangguh sejak 2018, sebaliknya menilai rekod prestasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang berjaya memacu pembangunan negeri sepanjang dua penggal.
Naib Pengerusi DAP Johor, Senator Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, rakyat kini berdepan pilihan yang jelas antara memberikan mandat kepada BN untuk melaksanakan semula janji yang gagal direalisasikan sejak 2018 atau mengekalkan kerajaan PH yang sudah membuktikan kemampuan melalui pelaksanaan pelbagai projek pembangunan.
“Rakyat jangan memperjudikan masa depan Negeri Sembilan untuk satu manifesto yang tertangguh sejak 2018. Apa sahaja alasan boleh diberikan, tetapi akhirnya rakyat akan melihat apa yang sudah dibuat dan apa yang masih tinggal sebagai janji.
“Kalau sesuatu manifesto itu benar-benar baik, persoalannya mengapa ia masih tertangguh begitu lama?
“Rakyat mempunyai hak untuk menilai dan membuat perbandingan,” katanya semasa sidang media sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, hari ini.
Hadir sama adalah Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.
Sheikh Umar turut berkata, rakyat perlu melihat rekod sebenar kerajaan negeri dan bukan sekadar terpengaruh dengan janji yang diulang semula setiap kali pilihan raya.
Beliau berkata, prestasi pelaburan yang semakin berkembang, ekonomi yang semakin baik serta kedudukan fiskal yang positif merupakan antara pencapaian yang perlu dipertimbangkan rakyat sebelum membuat keputusan.
Semalam, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan mengakui manifesto negeri itu bukan ‘rancangan tertangguh’.
Sebaliknya, Mohamad berkata, ia adalah agenda pembangunan negeri itu yang tergendala susulan kekalahan parti berkenaan pada 2018.
Beliau berkata, penggunaan istilah yang tepat penting kerana perancangan terbabit tergendala akibat pertukaran kerajaan, bukannya ditangguhkan atas kehendak parti. – MalaysiaGazette















