KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kandungan menghina agama Islam yang dimuat naik di Facebook.
Suruhanjaya itu berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga dua (2) tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Tambahnya, MCMC juga akan bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sedia memberikan bantuan teknikal serta sokongan kepakaran digital bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan, sekiranya diperlukan.
“MCMC memandang serius penyebaran kandungan jelik melampau berkaitan agama kerana perbuatan sedemikian berpotensi mencetuskan kebencian, menjejaskan perpaduan masyarakat sekali gus menggugat keharmonian antara kaum di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan dengan itu, MCMC mengingatkan orang ramai agar sentiasa menggunakan platform media sosial secara beretika, berhemah dan bertanggungjawab.
Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak memuat naik, berkongsi atau menyebarkan kandungan bersifat jelik melampau, penghinaan atau menghasut khususnya yang melibatkan agama.
Terdahulu, tular di Threads mengenai dakwaan akaun media sosial memuat naik kandungan yang dipercayai menghina Nabi Muhammad SAW, sekali gus mencetuskan kemarahan orang ramai.
Bagaimanapun, pengguna media sosial itu di Facebook menafikan akaun berkenaan miliknya serta mendakwa terdapat individu lain menggunakan nama dan gambarnya serta memuat naik status berkenaan.
Justeru pengguna media sosial berkenaan membuat laporan polis dan kes terbabit sudah dirujuk kepada MCMC. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
















