KUALA LUMPUR – MOMOYO, jenama minuman teh berinovatif menyasarkan dapat membuka lebih 300 cawangan di seluruh negara menjelang akhir tahun ini selepas kini memiliki 220 cawangan sejak memasuki pasaran negara ini pada April 2024.
Pengurus Besar Momoyo Malaysia, Alex Tan berkata, kempen francais dilancarkan bagi mengembangkan rangkaiannya di Malaysia kepada 500 cawangan menjelang 2027 selaras dengan peningkatan permintaan terhadap minuman premium pada harga mampu milik dan konsep makanan berasaskan kemudahan.
Menurut beliau, dalam tempoh jangka panjang, MPMPYO menyasarkan 600 cawangan dengan peluasan ke bandar-bandar peringkat kedua dan pasaran baharu di seluruh negara selain pusat bandar utama.
“Malaysia kekal sebagai pasaran pertumbuhan utama bagi jenama itu dalam usaha memperluaskan kehadirannya di peringkat serantau di sebalaik persaingan dalam sektor makanan dan minuman Malaysia semakin sengit dengan jenama tempatan serta antarabangsa yang giat merebut peluang pertumbuhan didorong permintaan pengguna kekal kukuh, proses urbanisasi dan populariti tawaran berasaskan nilai,” katanya.
Sejak memasuki pasaran Malaysia, MOMOYO memposisikan jenamanya menerusi minuman berharga antara RM5 hingga RM10 dengan menyasarkan pengguna muda dengan pilihan teh buah-buahan, minuman matcha serta minuman premium lain pada harga berpatutan.
Falsafah jenamanya, More & More Young, Always More For You memberi tumpuan kepada penyampaian produk berkualiti sambil mengekalkan harga yang mampu milik.
Tan menambah, MOMOYO berjaya membezakan dirinya dalam pasaran minuman Malaysia yang kompetitif menerusi inovasi produk berterusan, pensijilan Halal serta tenaga kerja yang terdiri daripada 99 peratus rakyat Malaysia.
Katanya, sebagai sebahagian daripada strategi peluasan produk, MOMOYO turut memperkenalkan Siri Real Matcha yang dipertingkatkan dengan kandungan matcha 20 peratus lebih tinggi dan merancang melancarkan Siri Fresh Brew bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap teh yang dibancuh segar.
“MOMOYO turut merancang memperkenalkan enam hingga lapan produk baharu setiap tahun, termasuk minuman yang disesuaikan dengan cita rasa rakyat Malaysia seperti cendol, kopi putih, gula Melaka, minuman ais krim teh susu dan minuman berasaskan lemon.
“Selain minuman, syarikat turut merancang memperluaskan penawarannya dengan produk bakeri segar, kopi premium serta donut bagi berkembang menjadi rangkaian minuman dan bakeri sehenti,” katanya.
MOMOYO kini memanfaatkan model francais serta rantaian bekalan yang dibangunkan di Indonesia, di mana syarikat mengendalikan lebih 1,500 cawangan.
Di seluruh Asia Tenggara, jenama itu telah membina rangkaian kukuh melebihi 2,000 cawangan merangkumi Indonesia, Malaysia, Brunei, Myanmar, Thailand, Vietnam dan Filipina. – MalaysiaGazette
















