KUALA PILAH – Pilah kini berada di landasan pembangunan yang baik dengan pelbagai kemudahan serta infrastruktur yang setanding daerah lain di Negeri Sembilan.
Namun usaha mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti kepada golongan muda perlu menjadi agenda seterusnya bagi memastikan pembangunan yang dinikmati turut diterjemahkan kepada peluang ekonomi untuk penduduk setempat.
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilah, Datuk Noorzunita Begum Mohd Ibrahim berkata, berdasarkan maklum balas diterima sepanjang tempoh berkempen, isu peluang pekerjaan khususnya dalam bidang profesional menjadi antara perkara paling kerap dibangkitkan oleh golongan belia dan Generasi Z.
Katanya, ramai anak muda mahu terus tinggal dan membina kehidupan di Pilah, namun mereka memerlukan lebih banyak peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan kelayakan serta kemahiran dimiliki.

Menurut beliau, Pilah tidak lagi berdepan isu kekurangan pembangunan asas kerana pelbagai kemudahan yang dinikmati di bandar dan daerah lain di Negeri Sembilan kini turut tersedia di kawasan itu.
“Pilah sudah cukup maju. Apa yang ada di Seremban dan daerah-daerah lain di Negeri Sembilan, kebanyakannya sudah dapat dinikmati oleh penduduk di Pilah.
“Bagaimanapun, kita tidak boleh berhenti setakat itu. Kita perlu melangkah ke fasa seterusnya iaitu memperkukuhkan ekonomi tempatan dengan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak-anak muda,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan sesi walkabout di sekitar Pekan Pilah bersama Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, hari ini.
Noorzunita berkata, sepanjang seminggu berkempen, beliau telah menjelajah hampir keseluruhan kawasan DUN Pilah dan mendengar sendiri pelbagai pandangan serta harapan yang disuarakan penduduk.
Katanya, selepas ini beliau akan memberi tumpuan kepada kempen di kawasan kampung bagi memastikan setiap lapisan masyarakat termasuk penduduk di kawasan luar bandar, berpeluang menyampaikan pandangan secara terus.
“Saya sudah hampir selesai menjelajah seluruh kawasan DUN Pilah. Minggu hadapan saya akan memberi fokus kepada kampung-kampung kerana saya mahu memastikan semua suara rakyat dapat didengari,” ujarnya.
Beliau berkata, antara hasrat yang paling banyak disampaikan golongan muda ialah keinginan melihat lebih banyak syarikat dan pelabur datang ke Pilah bagi membuka peluang pekerjaan dalam sektor yang menawarkan pendapatan lebih baik.
Menurutnya, usaha menarik pelaburan baharu perlu dipergiat kerana ia bukan sahaja mampu menyediakan pekerjaan kepada anak muda, malah merancakkan aktiviti ekonomi setempat serta memberi manfaat kepada peniaga dan komuniti.
“Anak-anak muda yang saya santuni banyak menyatakan mereka mahu lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan di Pilah, khususnya dalam bidang profesional.
“Kita mahu membawa masuk lebih banyak pelaburan supaya lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan.
“Apabila peluang pekerjaan bertambah, anak-anak muda tidak lagi perlu berhijrah jauh ke bandar besar untuk mencari rezeki, sebaliknya boleh membina kerjaya dan masa depan di kampung halaman sendiri,” jelas beliau lagi.
Noorzunita turut menegaskan kestabilan politik dan pentadbiran menjadi faktor penting kepada pembangunan yang dinikmati Pilah ketika ini.
Katanya, sepanjang lapan tahun pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, pelbagai dasar dan inisiatif berjaya dilaksanakan kerana kerajaan sentiasa mengambil kira pandangan serta keperluan rakyat sebelum merangka sesuatu dasar.
“Rakyat memilih Pakatan Harapan kerana mereka mahukan sebuah kerajaan yang mampu menstabilkan ekonomi dan politik.
“Suara rakyat sentiasa menjadi keutamaan. Apa yang mereka perlukan diterjemahkan kepada pelbagai dasar dan inisiatif, dan manfaat itu akhirnya kembali kepada rakyat dalam bentuk bantuan, pembangunan serta kemudahan,” katanya.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini, Noorzunita mempertahankan kerusi DUN Pilah dalam pertandingan satu lawan satu menentang calon Barisan Nasional (BN), S. Leza Md Yasin. – MalaysiaGazette
















