Jentera Bersatu menunjukkan risalah manifesto selepas Pelancaran Tawaran Bersatu Demi Nismilan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Bilik Gerakan Utama Bersatu Negeri Sembilan, Nilai. Foto MOHD ADZLAN, 25 JULAI 2026.

NILAI – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menawarkan 76 tawaran kepada rakyat Negeri Sembilan menerusi sembilan tunjang utama pembangunan negeri sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Pengerusi Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tawaran berkenaan dirangka dengan mengambil kira semua aspek kehidupan rakyat, selain menghormati Adat Perpatih serta kekuatan yang ada di negeri itu.

Menurutnya, antara sasaran utama Bersatu adalah mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan baharu berpendapatan tinggi dalam tempoh lima tahun menerusi pembangunan Koridor Industri Halal NS, Koridor Logistik NS serta industri masa hadapan bernilai tinggi termasuk tenaga hijau, kenderaan elektrik dan kecerdasan buatan (AI).

“Sekiranya diberi mandat untuk menjadi Kerajaan Negeri Sembilan, Bersatu bertekad melaksanakan tawaran di bawah sembilan tunjang utama pembangunan Negeri Sembilan dengan 76 tawaran untuk rakyat Negeri Sembilan,” katanya ketika melancarkan manifesto Bersatu Demi Nismilan hari ini.

Dalam sektor ekonomi, Bersatu turut menawarkan Dana Nismilan Niaga Prihatin bernilai RM5 juta bagi menyediakan pinjaman mikro tanpa faedah serta latihan teknologi digital kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap pada Pelancaran Tawaran Bersatu Demi Nismilan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Bilik Gerakan Utama Bersatu Negeri Sembilan, Nilai. Foto MOHD ADZLAN, 25 JULAI 2026.

Parti itu turut berjanji memberikan pengecualian sewa sepenuhnya selama dua tahun kepada penjaja berdaftar di pasar pagi, pasar tani dan pasar malam milik pihak berkuasa tempatan (PBT) selain diskaun sewa 50 peratus di medan selera, pasar awam dan premis terpilih milik PBT.

Dalam bidang pendidikan pula, antara tawaran yang dikemukakan termasuk menjadikan Kolej Yayasan Negeri Sembilan sebagai institusi TVET bertaraf antarabangsa dengan pengajian percuma secara bersasar, selain mewujudkan Nismilan EduFund bernilai RM25 juta dan Dana Prihatin Pendidikan RM20 juta.

Bersatu turut menawarkan bantuan pengangkutan RM50 sebulan kepada 2,000 pelajar menerusi inisiatif Selamat ke Sekolah, peruntukan RM2 juta setahun bagi program Jom Poi Sekolah serta Geran Sokongan PIBG sebanyak RM3,000.

Bagi kebajikan rakyat, parti itu mencadangkan penubuhan Nismilan Critical Illness Fund bernilai RM25 juta untuk membantu pesakit kanser, penyakit jantung, strok dan penyakit buah pinggang, selain bantuan alat implan ortopedik.

Turut ditawarkan Dana Rumah Rakyat NS bernilai RM100 juta bagi menyediakan rumah mampu milik menerusi skim Sewa-untuk-Milik (Rent-to-Own), serta Insentif Rumah Pertama NS dengan bantuan sehingga RM5,000.

Muhyiddin berkata, tawaran berkenaan meliputi semua lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak, pelajar, anak muda, usahawan, wanita dan warga emas.

“Inilah keseluruhan sembilan tunjang serta sebahagian tawaran Bersatu kepada rakyat Negeri Sembilan. Saya ingin tegaskan bahawa tawaran Bersatu Demi Nismilan ini adalah tawaran yang boleh dilaksanakan.

“Tiada sesiapa yang akan terpinggir. No one is left behind,” katanya.

Beliau berkata, Bersatu yakin semua tawaran itu dapat ditunaikan dengan cepat, cekap dan telus sekiranya parti berkenaan diberikan mandat untuk mentadbir Negeri Sembilan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast