BEIJING – Sekurang-kurangnya 10 orang maut manakala 23 lagi cedera selepas banjir kilat melanda sebuah kawasan pelancongan di barat laut China pada Ahad.
Penyiar China, CCTV melaporkan, kejadian berlaku selepas hujan lebat mencetuskan aliran deras dari kawasan pergunungan di sebuah lokasi pelancongan di daerah Weiyuan, bandar Dingxi, wilayah Gansu.
“Aliran deras dari kawasan pergunungan yang dicetuskan hujan lebat dalam tempoh singkat di sebuah kawasan pemandangan di daerah Weiyuan menyebabkan beberapa orang yang berkhemah terperangkap,” menurut laporan tersebut.
Laporan awal CCTV mengenal pasti lokasi kejadian sebagai Kawasan Pemandangan Shuangshimen yang terletak di kawasan pergunungan lasak di selatan Gansu, kira-kira 1,200 kilometer ke barat daya Beijing.
Shuangshimen terkenal dengan formasi gerbang batu semula jadi, padang rumput alpine dan aliran sungai gunung, selain menjadi lokasi perkhemahan popular ketika musim panas.
CCTV melaporkan mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital untuk menerima rawatan, manakala 174 individu lain berjaya diselamatkan.
Sementara itu, kawasan selatan China berada dalam keadaan berjaga-jaga terhadap risiko banjir pada Ahad selepas Taufan Noul melanda negara itu pada awal pagi.
Walaupun wilayah Gansu berada jauh daripada laluan Taufan Noul, beberapa kawasan di wilayah berkenaan turut mengalami hujan lebat, menyebabkan pihak berkuasa tempatan mengeluarkan amaran cuaca. – Agensi
















