KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyita sebanyak 157 pelbagai jenis basikal yang disewakan secara haram dalam satu tindakan khas di sekitar Taman Tasik Titiwangsa pada Khamis lalu selepas didapati beroperasi tanpa lesen, termasuk dikendalikan warga asing serta menimbulkan kacau ganggu kepada pengunjung.
Operasi penguatkuasaan itu dilaksanakan di sekitar Jalan Kuantan, Jalan Temerloh dan Jalan Tembeling melibatkan aktiviti penyewaan basikal dewasa dan kanak-kanak yang dijalankan tanpa permit sah di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Penjaja (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016.
Menurut DBKL, pihaknya turut mengesan beberapa pengusaha bertindak meninggalkan basikal rosak dan tidak boleh digunakan di kawasan awam seperti kawasan lapang, bawah pokok, belakang premis perniagaan, tandas awam serta surau tanpa sebarang usaha pembersihan atau pelupusan.
“Keadaan itu bukan sahaja mencacatkan pemandangan, malah menjejaskan keselesaan pengunjung dan persekitaran kawasan rekreasi awam yang menjadi tumpuan warga kota,” kata DBKL menerusi hantaran di Facebook.
Hasil pemeriksaan terhadap tujuh pengusaha, DBKL telah melaksanakan tindakan sita dan pemindahan barang melibatkan 157 basikal yang didapati beroperasi tanpa lesen serta ditinggalkan di lokasi awam.

Kesemua basikal yang disita dihantar ke Stor Sitaan DBKL bagi tujuan penyimpanan dan dokumentasi lanjut.
DBKL memaklumkan, operasi tersebut berjalan lancar tanpa sebarang provokasi daripada mana-mana pihak dan menegaskan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa di lokasi yang dikenal pasti.
Orang ramai yang mempunyai aduan atau maklum balas berkaitan perkara itu boleh menyalurkannya melalui saluran rasmi DBKL. – MalaysiaGazette
















