Seorang kanak-kanak lelaki Palestin berjalan melewati sebuah kenderaan yang terbakar susulan serangan oleh pendatang Israel sehari sebelumnya di kampung Sarra, Tebing Barat yang diduduki, pada 25 Julai 2026. foto AFP

 

QUSRA, Palestin – Pihak berkuasa Palestin mendakwa pendatang Israel membakar dua masjid di Tebing Barat yang diduduki pada malam Ahad, susulan pertempuran berdarah di wilayah itu minggu ini yang mengorbankan enam nyawa.

Keganasan di Tebing Barat yang diduduki Israel meningkat sejak tercetusnya perang Gaza susulan serangan Hamas terhadap Israel pada 7 Oktober 2023.

Datuk Bandar Qusra, Abdel Azim Wadi memberitahu AFP, pendatang Israel membakar sebuah masjid yang masih dalam pembinaan di bahagian selatan bandar berkenaan, selatan Nablus.

“Kebakaran itu memusnahkan pintu masuk masjid dan turut merosakkan struktur batu bangunan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, penyerang turut menyembur tulisan grafiti dalam bahasa Ibrani pada dinding masjid, termasuk perkataan “balas dendam”.

Tentera Israel mengesahkan pihaknya menghantar anggota ke pinggir Qusra selepas menerima laporan mengenai sebuah masjid dibakar.

“Anggota tentera melakukan pencarian terhadap suspek yang telah melarikan diri sebelum ketibaan mereka dan mengenal pasti tanda-tanda pembakaran serta grafiti di lokasi kejadian,” kata tentera Israel sambil memaklumkan polisnya akan menjalankan siasatan dan mengumpul bukti.

Dalam kejadian berasingan, pendatang Israel turut membakar sebuah masjid di kampung Kour berhampiran Tulkarem serta menyembur slogan berunsur perkauman pada dindingnya, menurut Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama Palestin.

Kementerian itu berkata, “sekumpulan pendatang membakar sebuah masjid di kampung Kour dalam wilayah Tulkarem dan menulis slogan perkauman pada dindingnya.”

Pada hari Jumaat, pertempuran maut tercetus antara pendatang Israel dan penduduk Palestin di kampung Tell yang mengorbankan empat rakyat Palestin dan dua warga Israel.

Selepas kejadian itu, tentera Israel menyerbu bandar Nablus serta beberapa kawasan berhampiran, selain mengumumkan penahanan puluhan rakyat Palestin dalam operasi yang disifatkan sebagai “operasi membanteras keganasan” di Tebing Barat.

Pada Sabtu, aktiviti di bandar berkenaan hampir lumpuh dengan barisan panjang kenderaan dilaporkan berlaku di stesen minyak susulan bekalan bahan api yang semakin berkurangan.

Sejak perang Gaza bermula, sekurang-kurangnya 1,097 rakyat Palestin termasuk pejuang terbunuh akibat tindakan tentera Israel atau serangan pendatang Israel, menurut angka daripada pihak Palestin.

Tidak termasuk Baitulmaqdis Timur yang telah ditawan Israel, kira-kira tiga juta rakyat Palestin tinggal di Tebing Barat bersama lebih 500,000 pendatang Israel yang menetap di kawasan penempatan yang dianggap tidak sah di sisi undang-undang antarabangsa. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast