Jambatan baru Kampung Labu Hilir
Jambatan baru Kampung Labu Hilir

SEREMBAN – Masalah jambatan tidak selamat yang menghantui penduduk Kampung Labu Hilir akhirnya diselesaikan dalam tempoh kira-kira empat bulan menerusi pembinaan jambatan baharu di kawasan berkenaan.

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu, Datuk Ahmad Faez Abdul Razak berkata, pembinaan jambatan baharu itu susulan aduan penduduk berhubung keadaan jambatan lama yang semakin tidak stabil serta masalah hakisan tanah.

Menurutnya, aduan berkenaan diterima beliau sewaktu menjawat jawatan Penyelaras DUN Labu daripada Ketua Kampung Labu Hilir sebelum tindakan segera diambil dengan menutup jambatan lama bagi mengelakkan risiko keselamatan kepada penduduk.

“Pada awalnya, kita menerima aduan berkaitan hakisan tanah. Kita juga perasan jambatan ini sudah tidak stabil.

“Saya menerima aduan daripada Ketua Kampung Labu Hilir yang memaklumkan  jambatan ini sudah tidak selamat untuk digunakan.

“Jadi, apabila mendapat maklumat itu, saya maklumkan kalau boleh, jangan gunakan jambatan tersebut. Kita cuba tutup dahulu demi keselamatan dan pada masa sama mencari jalan alternatif untuk penduduk,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Calon PH, Datuk Ahmad Faez Abdul Razak
Calon PH, Datuk Ahmad Faez Abdul Razak

Ahmad Faez berkata, hasil permohonan yang dibuat, sebuah jambatan baharu kemudian dibina di lokasi tidak jauh dari jambatan asal bagi menggantikan jambatan lama yang kedudukannya terlalu hampir dengan rizab Keretapi Tanah Melayu (KTM).

“Alhamdulillah, hari ini kita dapat melihat hasilnya. Jambatan asal berada di sana, tetapi kita pindahkan ke lokasi ini kerana kedudukan jambatan lama terlalu hampir dengan rizab KTM. Jambatan ini adalah 100 peratus baharu,” katanya.

Beliau berkata, projek yang dimulakan sekitar Mac tahun lalu itu berjaya disiapkan dalam tempoh kira-kira empat bulan dengan kos lebih RM430,000.

Katanya, projek berkenaan dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menerusi Kerajaan Negeri bagi memastikan penduduk Kampung Labu Hilir dapat menggunakan laluan yang lebih selamat.

Menurut Ahmad Faez, pembinaan jambatan baharu itu bukan sahaja menyelesaikan isu keselamatan yang dibangkitkan penduduk, malah memberi kemudahan lebih baik kepada masyarakat setempat yang bergantung kepada laluan berkenaan untuk urusan harian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast