KUALA LUMPUR – Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menyokong komitmen kerajaan untuk memperkukuh langkah membanteras buruh paksa, termasuk cadangan memperkenalkan undang-undang dan mekanisme bagi menghalang import barangan yang dihasilkan melalui amalan buruh paksa.
Presidennya, Datuk Dr. Syed Hussein Syed Husman berkata, usaha menangani buruh paksa bukan sahaja satu tanggungjawab moral, malah keperluan ekonomi bagi Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan yang terlibat secara meluas dalam rantaian bekalan global.
Menurut beliau, MEF menyokong sepenuhnya usaha menghapuskan buruh paksa dalam sebarang bentuk kerana amalan tersebut tidak mempunyai tempat dalam rantaian bekalan moden serta menjejaskan maruah manusia dan persaingan perniagaan yang adil.
“Malaysia perlu terus membuktikan komitmennya terhadap piawaian buruh yang diiktiraf di peringkat antarabangsa serta amalan perniagaan yang bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kejayaan sebarang rangka kerja kawal selia baharu bergantung kepada reka bentuk dan pelaksanaannya.
“Walaupun objektifnya amat baik, pelaksanaannya mesti praktikal, seimbang dan berasaskan bukti. Langkah yang mewujudkan birokrasi berlebihan, ketidakpastian serta kos pematuhan yang tinggi akan menjejaskan daya saing perniagaan Malaysia, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS),” katanya.
MEF berpandangan, undang-undang dan mekanisme penguatkuasaan perlu merangkumi beberapa elemen penting, termasuk takrifan jelas mengenai buruh paksa yang selaras dengan piawaian Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), keperluan usaha wajar dalam rantaian bekalan yang munasabah, mekanisme pengesahan dan audit berasaskan risiko, sistem kebolehkesanan produk yang berkesan serta proses siasatan dan rayuan yang adil.
Syed Hussein berkata, pendekatan berasaskan risiko penting bagi memastikan sumber penguatkuasaan tertumpu kepada sektor, produk dan bidang kuasa yang mempunyai kebarangkalian lebih tinggi berlakunya pelanggaran berkaitan buruh paksa.
“Tidak semua rantaian bekalan mempunyai tahap risiko yang sama. Penguatkuasaan perlu disasarkan kepada sektor dan produk berisiko tinggi, bukannya mengenakan kewajipan pematuhan yang sama kepada semua perniagaan tanpa mengambil kira profil risiko mereka,” tambah beliau.
Beliau turut menjelaskan banyak syarikat Malaysia terlibat dalam rantaian bekalan global yang kompleks dengan pelbagai pembekal di beberapa negara, sekali gus menyukarkan pemantauan menyeluruh terhadap setiap peringkat rantaian bekalan.
“Oleh itu, kerajaan perlu menyediakan garis panduan yang jelas, tempoh peralihan yang mencukupi serta sokongan praktikal bagi membantu syarikat memperkukuh sistem usaha wajar dan keupayaan pematuhan mereka,” katanya.
Menurutnya, kerjasama rapat antara kerajaan dan sektor swasta amat penting dalam membangunkan serta melaksanakan rangka kerja yang dicadangkan.
“Rejim pematuhan yang berjaya tidak boleh bergantung kepada penguatkuasaan semata-mata. Ia memerlukan kerjasama, perundingan, program kesedaran dan inisiatif pembangunan kapasiti bagi membantu perniagaan memahami serta memenuhi tanggungjawab mereka,” katanya.
Mengulas cadangan supaya kerajaan mengutamakan kebajikan rakyat Malaysia berbanding kebimbangan terhadap pekerja asing yang terdedah kepada buruh paksa, Syed Hussein berkata, kedua-dua perkara itu tidak sepatutnya dilihat sebagai keutamaan yang saling bersaing.
“Melindungi pekerja tempatan dan memastikan pekerja asing tidak dieksploitasi adalah matlamat yang saling melengkapi. Kegagalan menangani buruh paksa boleh menjejaskan pasaran buruh, mewujudkan persaingan tidak adil dan akhirnya merendahkan standard pekerjaan pekerja tempatan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan perlu terus mengutamakan dasar yang meningkatkan peluang pekerjaan, pembangunan kemahiran, pertumbuhan produktiviti, kemajuan gaji serta perlindungan sosial rakyat Malaysia, di samping memastikan semua pekerja dilayan selaras dengan hak asasi buruh.
Pada masa sama, MEF menegaskan, sekatan import perlu dilaksanakan berdasarkan bukti yang kukuh, prosedur yang telus serta prinsip keadilan bagi mengelakkan gangguan yang tidak perlu terhadap perdagangan dan operasi perniagaan yang sah.
Matlamatnya ialah menghalang produk yang dikaitkan dengan buruh paksa daripada memasuki pasaran Malaysia, bukannya mewujudkan halangan yang tidak perlu terhadap perdagangan yang sah.
Berikutan itu, sebarang tindakan penguatkuasaan mesti telus, boleh dijangka dan disokong oleh bukti yang jelas,” ujar beliau.
Syed Hussein menambah, usaha menghapuskan buruh paksa perlu dilihat bukan sekadar memenuhi komitmen perdagangan antarabangsa, malah sebagai sebahagian daripada aspirasi Malaysia untuk membina ekonomi yang lebih berdaya saing, beretika dan mampan.
Jelasnya, Malaysia mempunyai peluang untuk memperkukuh reputasinya sebagai rakan dagang yang dipercayai dan anggota komuniti global yang bertanggungjawab.
“Jadi kita perlu memastikan usaha membanteras buruh paksa dilaksanakan dengan cara yang melindungi pekerja, menyokong perniagaan yang bertanggungjawab serta mengekalkan daya saing negara,” katanya. – MalaysiaGazette
















