Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 27 FEBRUARI 2025.

KUALA LUMPUR – Kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung hakikat sejarah pembentukan negara dan asal-usul bangsa Melayu wajar difahami dalam konteks kenegaraan secara menyeluruh, bukannya dipetik secara terpisah sehingga menimbulkan salah faham atau dijadikan polemik politik.

Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, pandangan yang disampaikan itu pada asasnya bertujuan mengingatkan masyarakat mengenai sejarah pembentukan negara dan bukannya menafikan hak mana-mana kaum di Malaysia.

“Kenyataan tersebut bukan sama sekali bertujuan menafikan hak, kedudukan atau taraf kewarganegaraan kaum lain kerana semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang etnik adalah warganegara yang sah serta dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Prinsip ini tidak pernah dipersoalkan. Apa yang dibangkitkan ialah fakta sejarah bahawa bangsa Melayu merupakan sebahagian daripada rumpun Melayu-Nusantara yang telah mendiami Alam Melayu sejak sekian lama.

“Dalam masa yang sama, masyarakat Cina, India serta pelbagai etnik lain turut membawa sejarah, tamadun dan warisan masing-masing yang akhirnya bersama-sama membentuk wajah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mengiktiraf hakikat sejarah ini bukanlah satu penghinaan kepada mana-mana pihak sebaliknya merupakan pengiktirafan terhadap perjalanan sejarah negara.

“Saya kesal terhadap wujudnya dwi-standard apabila isu berkaitan asal-usul dan akar bangsa dibangkitkan oleh masyarakat Melayu.

“Apabila mana-mana kaum meraikan asal-usul, bahasa, budaya dan tanah leluhur mereka, ia dianggap sebagai manifestasi kepelbagaian yang memperkayakan negara.

“Sebaliknya, apabila orang Melayu menyatakan sejarah dan akar bangsanya sendiri, ia sering disalah tafsir sebagai sesuatu yang bersifat perkauman atau sensitive,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ahmad Tarmizi turut mengingatkan Perlembagaan Persekutuan lahir daripada kompromi sejarah yang dipersetujui oleh pengasas negara menjelang kemerdekaan.

“Kerangka tersebut merangkumi kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan menerusi Perkara 3, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan melalui Perkara 152, kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta kepentingan sah kaum lain di bawah Perkara 153, dan kedaulatan Raja-Raja Melayu melalui Perkara 181.

“Kesemua peruntukan itu, wujud serentak dengan jaminan hak kewarganegaraan dan kesaksamaan di sisi undang-undang kepada seluruh rakyat Malaysia sebagai asas keseimbangan negara,” ujarnya.

Tambahya, mengiktiraf sejarah bangsa Melayu tidak bertentangan dengan semangat perpaduan kerana perpaduan yang kukuh tidak lahir dengan memadam sejarah, tetapi dengan memahami sejarah secara jujur dan menghormati realiti Perlembagaan.

“Saya menyeru semua rakyat Malaysia untuk berkongsi tanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara, memelihara keharmonian masyarakat majmuk dan memastikan generasi akan datang memahami sejarah negara dengan tepat, bukannya melalui persepsi yang dipengaruhi sentimen politik semasa.

“Saya yakin semangat menghormati kebenaran sejarah dan Perlembagaan Persekutuan itulah yang ingin ditegaskan oleh Muhammad Sanusi dan perlu dipertahankan demi masa depan Malaysia,” katanya lagi. –  MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast