Azrol Mansor

KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan segera dan menyeluruh berhubung rakaman tular yang memaparkan aktiviti didakwa pemujaan di hadapan sebuah masjid di Melaka.

Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Azrol Mansor menegaskan, masjid bukan tempat untuk sebarang ritual agama lain atau perbuatan yang boleh mencetuskan kemarahan masyarakat serta mengganggu keharmonian antara kaum dan agama di negara ini.

Katanya, tindakan sedemikian, jika terbukti benar merupakan penghinaan terhadap kesucian rumah ibadat umat Islam.

“Dakwaan itu perlu dipandang serius kerana ia berpotensi menggugat keamanan dan memperlihatkan sikap tidak menghormati sensitiviti umat Islam.

“Sekiranya dakwaan ini disahkan benar oleh pihak berkuasa, ia bukan sekadar satu provokasi, malah merupakan satu penghinaan terhadap kesucian rumah Allah yang tidak boleh diterima oleh umat Islam di negara ini,” katanya dalam  kenyataan.

Beliau menambah, pihaknya mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM), kerajaan negeri Melaka dan pihak berkuasa agama mengambil tindakan segera tanpa berlengah bagi memastikan siasatan dilakukan secara telus.

Katanya, sekiranya terdapat unsur penghinaan terhadap agama, provokasi melampau atau pelanggaran undang-undang, tindakan tegas perlu dikenakan tanpa mengira latar belakang individu yang terlibat.

Dalam pada itu, Perkasa mengingatkan toleransi antara agama tidak boleh disalah tafsir sebagai alasan untuk mencabar kesucian mana-mana rumah ibadat.

“Setiap rakyat wajib menghormati batas yang telah ditetapkan demi memelihara keamanan dan keharmonian negara,” ujarnya.

Perkasa turut memberi amaran bahawa, kegagalan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang sengaja mencetuskan provokasi boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap prinsip kedaulatan undang-undang.

Pada masa sama, pertubuhan itu menegaskan komitmennya untuk terus mempertahankan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, disamping menekankan bahawa kebebasan beragama perlu diamalkan secara bertanggungjawab dan saling menghormati. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast