KUALA LUMPUR – Kerjasama rapat dan perancangan selari antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sembilan adalah kunci utama bagi memastikan sebarang projek pembangunan dapat memberi impak positif untuk tempoh jangka panjang.
Penganalisis ekonomi dari Putra Business School UPM, Prof Madya Dr Ida Md Yasin berpendapat, sinergi kedua-dua pihak bukan sekadar liputan bantuan kewangan atau bajet semata-mata, sebaliknya merangkumi perancangan infrastruktur yang saling melengkapi.
Menurutnya, kedudukan geografi Negeri Sembilan yang strategik seperti berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta rangkaian rel kereta api perlu dimanfaatkan sepenuhnya menerusi kolaborasi erat itu.
“Apa-apa sahaja dasar atau perancangan yang kita buat ini, impak dia lama iaitu 10, 20 hingga 30 tahun ke hadapan.
“Sebab itu perancangan antara kerajaan negeri dan Persekutuan sangat penting.
“Contohnya apabila kita sebut tentang pembangunan infrastruktur, kita sudah ada KLIA yang tidak jauh dari Negeri Sembilan, cuma di sebelah sahaja.
“Begitu juga rel kereta api di mana ada cadangan laluan pintasan tanpa perlu melalui KL Sentral. Ini perkara yang memerlukan kolaborasi,” katanya menerusi program bual bicara Skop MG terbitan MalaysiaGazette.

Beliau berkata, struktur kewangan Negeri Sembilan di bawah pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sebelum ini sudah mempunyai sekitar 60 peratus pendapatan negeri yang disumbangkan oleh hasil bukan cukai seperti pelesenan.
“Tidak hanya itu, kita melihat hasil cukai pula menyumbang kira-kira 30 peratus, diikuti sebahagian kecil lagi daripada peruntukan serta sumbangan Kerajaan Persekutuan.
“Sokongan dan keselarasan dasar daripada Putrajaya amat diperlukan bagi mengukuhkan lagi ekonomi serta mempercepatkan pemajuan negeri berkenaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Dr Ida turut menekankan berkaitan perancangan pelaburan baharu yang masuk ke Negeri Sembilan perlu memberi keutamaan kepada penawaran peluang pekerjaan separa mahir dan mahir.
“Langkah itu penting bagi memenuhi kehendak anak tempatan yang majoritinya mempunyai kelulusan pendidikan tinggi seperti diploma dan ijazah sekali gus mengelakkan mereka berpenghijrahan keluar.
“Kita tak mahu pelaburan itu cuma memerlukan pekerja kurang mahir, di mana akhirnya orang Malaysia tak pergi dan kita import pula pekerja luar.
“Ramai anak muda di Negeri Sembilan ada ijazah dan diploma.
“Mereka mahu pekerjaan di kawasan sendiri dan kalau boleh tak nak berpindah,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau juga menyarankan agar penglibatan Industri Kecil dan Sederhana (SME) tempatan diserap sejak dari peringkat awal perancangan pelaburan lagi bagi membolehkan rantaian ekonomi tempatan berkembang seiring.
“Apabila kita tahu pelaburan akan sampai dan jenisnya bagaimana, SME di Negeri Sembilan sudah boleh turut serta.
“Kalau pelaburan dah masuk baru kita nak buat penglibatan SME, ia agak sukar.
“Ingatlah kata-kata, ‘if we fail to plan, we plan to fail’ (jika kita gagal merancang, kita merancang untuk gagal),” katanya lagi.
Terdahulu, prestasi kewangan Negeri Sembilan mencatatkan rekod terbaik dalam sejarah pentadbiran negeri apabila kutipan hasil melonjak daripada RM413 juta pada tahun 2017 kepada RM610 juta pada 2025.
Tidak hanya itu, rizab negeri juga mengukuh melepasi paras RM1.04 bilion berbanding RM725.96 juta bagi tempoh sama, di samping lonjakan nilai pelaburan yang amat signifikan daripada RM1.14 bilion kepada RM54.3 bilion.
Pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan itu turut menyaksikan Keluaran Dalam Negeri KDNK Negeri Sembilan meningkat kepada RM54.3 bilion pada 2025 berbanding RM46.3 bilion pada 2020, sekali gus berjaya menekan kadar pengangguran tempatan turun daripada 3.8 peratus kepada 3.1 peratus. -MalaysiaGazette
















