KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan sejauh mana konsep “anak Malaysia” yang dibawa pemimpin DAP selari dengan penghayatan terhadap sistem pendidikan kebangsaan, bahasa rasmi negara dan sejarah pembentukan Malaysia.
Beliau berkata, status kewarganegaraan semata-mata tidak mencukupi untuk menggambarkan identiti nasional seseorang, sebaliknya perlu disertai pemahaman serta penghormatan terhadap asas negara.
Fadhli mempersoalkan pendirian DAP yang masih memperjuangkan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), yang menurutnya tidak selari dengan usaha memperkukuh sistem pendidikan kebangsaan.
“Apa guna kita bercakap berdegar-degar tentang saya anak Malaysia, sedangkan DAP masih tegar memperjuangkan sistem pendidikan luar seperti UEC, mengenepikan sistem pendidikan kebangsaan yang ada dalam negara.
“Apa guna kita bercakap berdegar-degar tentang saya anak Malaysia, sedangkan suatu ketika pemimpin DAP menggunakan bahasa Mandarin dalam urusan rasmi Kerajaan.
“Apa guna kita bercakap berdegar-degar tentang saya anak Malaysia, sedangkan sejarah negara sendiri pun tidak faham. Apatah lagi ada pemimpin DAP pula yang mencadangkan silibus sejarah ditambah tentang peranan DAP,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Kenyataan Fadhli itu bagi mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming yang menunjukkan kad pengenalannya sambil menegaskan tiada mana-mana kaum di negara ini boleh dilabel sebagai pendatang.
Kor Ming yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, naratif yang mempertikaikan kedudukan rakyat Malaysia berdasarkan kaum hanya akan menghakis perpaduan yang dibina bersama sejak sekian lama.
“Ini kad pengenalan saya. Saya bukan pendatang. Kita semua adalah ‘Anak Malaysia’,” katanya.
Namun, Fadhli menegaskan, penduduk Negeri Sembilan juga tidak lupa bagaimana DAP mengubah nama Jalan Temiang kepada nama pengasas DAP Kebangsaan.
“Adakah negara dan semangat kebangsaan negara ini perlu mengikut acuan dan kehendak DAP?” soalnya.
Beliau turut mempersoalkan persepsi DAP terhadap sokongan politik berdasarkan kaum, dengan mendakwa penolakan orang Melayu terhadap Pakatan Harapan (PH) sering dilabel sebagai perkauman, sedangkan seruan penyatuan sokongan bukan Melayu kepada PH tidak dilihat dalam konteks sama.
“Orang Melayu bersatu menolak PH anda anggap perkauman melampau. Sedangkan bukan Melayu diseru bersatu menyokong PH. Adakah ini perpaduan sebenar versi DAP?” katanya. – MalaysiaGazette
















