KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sarawak menahan sebuah bot nelayan Indonesia yang disyaki menjalankan aktiviti penangkapan ikan secara haram di perairan Sarawak dalam operasi penguatkuasaan pada 23 Julai lalu.
Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairi Abd Aziz berkata, penahanan dilakukan kira-kira jam 11.35 pagi di kedudukan 101 batu nautika barat laut Tanjung Sirik ketika aset Maritim Malaysia melaksanakan Op PERMAI 01/2019, Op NAGA dan Op TIRIS 4.0.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan empat kru warga Indonesia termasuk seorang nakhoda.
“Siasatan awal mendapati bot berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti penangkapan ikan di Perairan Perikanan Malaysia tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bot bersama empat kru terbabit ditahan sebelum diiring ke Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS), Kuching untuk siasatan lanjut.
Maritim Malaysia Sarawak akan terus mempergiat rondaan dan operasi penguatkuasaan bagi membanteras pencerobohan vesel asing, aktiviti perikanan haram serta pelanggaran undang-undang maritim.
Orang ramai, khususnya komuniti maritim, turut digesa menyalurkan maklumat mengenai sebarang aktiviti mencurigakan di laut menerusi talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544. – MalaysiaGazette
















