Keadaan penempatan etnik Rohingya di Kampung Nelayan Kuala Muda di sini.

KEPALA BATAS – Persaingan ekonomi dan pertambahan jumlah penempatan warga Rohingya menjadi faktor 121 etnik tersebut berpindah secara sukarela dari penempatan sementara bekas tapak tsunami Penaga, Kuala Muda di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, kesemua mereka berpindah ke pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Kuala Lumpur untuk proses selanjutnya.

“Proses perpindahan itu dilakukan secara sukarela oleh mereka sendiri dengan bantuan serta penyelarasan Jabatan Persekutuan (Jabatan Perpaduan) Kerajaan Negeri, Majlis Keselamatan Negara (MKN), wakil penduduk tempatan dan wakil etnik Rohingya.

“Proses itu turut dipantau dan diselaraskan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjamin keselamatan serta ketenteraman awam.

“Perpindahan mereka disebabkan berlakunya persaingan ekonomi dan penempatan berikutan pertambahan komuniti itu di kawasan tersebut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mensensasikan isu ini sehingga menggugat keselamatan dan ketenteraman awam.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai isu berkenaan diminta menghubungi Ketua Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Daerah SPU, Deputi Superintendan Fakhruz Zaman Hussin di talian 04 576 2222,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Bimbang penempatan Rohingya berkembang, hampir 200 orang etnik itu dipindahkan

MalaysiaGazette terdahulu melaporkan kebimbangan mula timbul apabila jumlah komuniti berkenaan semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini sehingga penempatan terbabit berkembang daripada kira-kira 12 rumah sewa kepada 33 rumah.

Penduduk Kampung Kuala Muda, Wan Nor Azian Wan Ibrahim, 43, berkata, tiga siri pertemuan diadakan membabitkan penduduk kampung, pemilik rumah, polis serta wakil UNHCR sebelum persetujuan dicapai supaya mereka meninggalkan kawasan itu pada 26 Julai.

“Tiada rusuhan, pertengkaran atau keganasan berlaku. Mereka mengemas barang dan meninggalkan kawasan ini secara aman,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast