Pasukan forensik sedang menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

SIMPANG AMPAT – “Saya ingat bunyi tayar lori atau treler pancit, rupanya ada lelaki cedera ditembak.”

Itu reaksi seorang pemilik kedai makan yang berada di lokasi kejadian ketika seorang lelaki yang baru selesai membeli telur cedera ditembak di Jalan Perniagaan Seri Tambun, di sini, hari ini.

Wanita yang enggan dikenali itu berkata, ketika kejadian kira-kira jam 10 pagi, dia berada di kaunter premis bersama beberapa pekerja sebelum terdengar beberapa bunyi dentuman dari luar.

Katanya, pada mulanya dia langsung tidak mengesyaki bunyi itu adalah tembakan memandangkan kedai berkenaan terletak berhampiran jalan utama yang sering dilalui lori dan treler, selain kejadian tayar pancit di kawasan itu bukan sesuatu yang luar biasa.

“Memang saya ingat bunyi tayar lori atau treler pancit kerana kawasan ini selalu dilalui kenderaan berat.

“Tidak lama kemudian, seorang lelaki tiba-tiba berlari masuk ke dalam kedai. Masa itu barulah saya sedar sebenarnya berlaku kejadian tembakan di luar,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, dia tidak sempat melihat bagaimana suspek melepaskan tembakan kerana sebaik menyedari suspek memasuki kawasan kedai sambil memegang sepucuk pistol, dia bersama pekerja lain terus menundukkan badan dan bersembunyi.

“Apabila nampak dia masuk dengan pistol, saya dan pekerja lain semua m tunduk dan sembunyikan diri. Kami hanya berani bangun selepas keadaan reda dan tiada lagi bunyi tembakan.

“Ketika itu barulah saya nampak ada seorang lelaki cedera,” katanya.

Tambah wanita itu, mangsa bukan pelanggan kedainya, sebaliknya dipercayai melarikan diri dari kedai berhampiran sebelum memasuki premis itu bagi mendapatkan perlindungan.

Katanya, dia bersyukur kerana ketika kejadian pelanggan di kedainya tidak ramai memandangkan kebanyakan mereka sudah selesai bersarapan dan masuk bekerja.

“Nasib baik pelanggan tidak ramai ketika itu. Kalau berlaku lebih awal, mungkin keadaan akan jadi lebih kelam-kabut,” katanya.

Artikel berkaitan:

Lelaki baru selesai beli telur cedera ditembak di Simpang Ampat

MalaysiaGazette terdahulu melaporkan lelaki berusia 38 tahun mengalami kecederaan pada tangan kanan akibat ditembak.

Suspek dikatakan melepaskan sekurang-kurangnya lima das tembakan sebelum melarikan diri menaiki sebuah kereta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast