JOHOR BAHRU – Pemantauan secara berterusan perlu diperkukuh di semua institusi pendidikan bagi memastikan insiden buli di sebuah sekolah menengah di Ampang Jaya, Selangor baru-baru ini tidak berlaku di Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali berkata, pihaknya memandang serius insiden tersebut, justeru semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing.
Jelasnya, ini bagi memastikan budaya saling menghormati, prihatin dan bertanggungjawab terus subur dalam komuniti sekolah.
Katanya, langkah itu perlu kerana sekolah adalah tempat yang selamat untuk murid menimba ilmu, membina sahsiah dan mengembangkan potensi diri.
“Pemantauan secara berterusan perlu diperkukuhkan di semua peringkat bagi memastikan sebarang insiden dapat dikesan dan ditangani dengan segera.
“Kerajaan negeri bersama-sama Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) akan terus bekerjasama rapat dan memperkukuh usaha pencegahan melalui pelaksanaan intervensi yang berterusan, termasuk memperkasakan pendidikan nilai murni, memperhebat program kesedaran anti-buli, memperkukuh peranan guru, kaunselor serta hubungan erat bersama ibu bapa dan komuniti,” katanya dalam kenyataan.
Dr Muhammad Naqib menyeru semua pihak pengurusan sekolah di Johor sentiasa berwaspada, peka dan mengambil langkah proaktif terhadap sebarang petanda atau aduan berkaitan gejala buli.
“Kita ingin mengingatkan bahawa sebarang bentuk buli, sama ada secara fizikal, verbal, psikologi mahupun siber, tidak akan dikompromi.
“Kerajaan Negeri Johor kekal komited untuk memastikan setiap sekolah di negeri ini berada dalam persekitaran yang selamat dan kondusif demi kesejahteraan serta masa depan anak-anak bangsa Johor,” katanya.- MalaysiaGazette
















