Anwar ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan di Dewan Garison, Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan hari ini.

TAMPIN – Malaysia tidak perlu membayar yuran pendaftaran perlumbaan Formula 1 (F1) berjumlah ratusan juta ringgit kepada syarikat F1 hasil keyakinan Bahrain terhadap keamanan, kecekapan pentadbiran serta hubungan erat antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dimuktamadkan selepas Raja Bahrain, Raja Hamad Isa Al Khalifa memaklumkan persetujuan tersebut menerusi panggilan telefon semalam.

Menurut beliau, Malaysia dipilih daripada puluhan negara lain susulan faktor kestabilan negara, pengurusan yang cekap serta kemudahan infrastruktur yang baik, selain hubungan akrab antara Raja Bahrain dan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

“Semalam, Raja Bahrain bersetuju melalui Perdana Menteri dalam hubungan telefon saya mengesahkan Formula 1 akan dijalankan di Malaysia dalam tempoh dua bulan.

“Saudara bayangkan tentunya hubungan baik Raja Bahrain dan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim membantu (kerana) kalau negara ini tidak aman, tak ada orang nak datang (kerana) sepatutnya (F1) di Bahrain.

“Tapi oleh kerana kesan peperangan Amerika dan Israel…Malaysia dipilih, ada puluhan lebih negara yang diteliti oleh mereka. Pertama, harus aman. Kedua, urusannya baik dan cekap. Ketiga, infrastrukturnya lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan di Dewan Garison Gemas, Kem Syed Sirajuddin, di sini, hari ini.

Anwar berkata, beliau pada awalnya berhati-hati menerima cadangan itu kerana kerajaan perlu mengutamakan perbelanjaan bagi kebajikan rakyat seperti kos sara hidup dan perumahan, namun meminta rundingan dilakukan supaya kos penganjuran dapat dikurangkan.

Usaha itu akhirnya berjaya apabila pihak F1 bersetuju menghapuskan bayaran pendaftaran yang sebelum ini mencecah ratusan juta ringgit.

“Bahrain dan dunia, termasuk Arab tahu prestasi kita mengurus ASEAN (Malaysia menjadi Pengerusi dan tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN 2025) tahun lalu itu di antara yang terbaik yang pernah ASEAN anjurkan selama ini.

“Maka, F1, semalam ada telefon saya, dia kata bayaran awal yang dibayar ratus juta kepada syarikat F1 yang mengelola F1 di seluruh dunia itu, hapus (dihapuskan). Kita tak payah bayar lagi. Jadi kita anjur, percuma,” tambahnya.

Perdana Menteri berkata, sebaliknya kerajaan hanya perlu menanggung kos membaiki trek yang merupakan aset negara.

“Kalaupun ada sedikit perbelanjaan nak baiki trek, F1 dan lain-lain yang saya jangka dalam RM16 juta (sedangkan) orang (negara) lain anjur, dia belanja ratusan atau satu bilion ringgit minimum,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast