Penguat kuasa menahan satu pasangan yang berkhalwat dalam sebuah bilik hotel di Batu Pahat hari ini.

BATU PAHAT – Seorang janda muda memberi alasan hanya tumpang tandas semasa ditangkap khalwat dengan seorang lelaki berstatus suami orang di sebuah hotel di sini malam tadi.

Pasangannya pula merayu Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) untuk melepaskannya kerana malu dengan isteri dan anak-anak yang masih bersekolah jika perbuatan itu terbongkar.

JAINJ dalam satu kenyataan memberitahu, namun penguat kuasa yang melakukan serbuan itu tidak termakan dengan pujukan tersebut sebaliknya terus memberkas pasangan berkenaan.

Menurut JAINJ, sebelum itu penguat kuasa melakukan rondaan pukul 11.40 malam dan itu merupakan pemeriksaan berkala dan rambang di bilik hotel di seluruh Johor walaupun tanpa aduan.

JAINJ memaklumkan, pemeriksaan di bilik hotel pasangan berkenaan dilakukan dengan mengetuk pintu dan lima minit kemudian dibuka seorang lelaki yang memakai t-shirt dan berseluar dalam.

“Dia cuba menutup semula pintu apabila mengetahui penguat kuasa datang. Penguat kuasa bertindak pantas menolak semula pintu untuk menghalang lelaki itu daripada mengunci semula pintu.

“Penguat kuasa masuk ke bilik seterusnya menunjukkan kad kuasa dan memperkenalkan diri. Bilik kelihatan gelap dan tidak ada orang lain ditemui,” menurut kenyataan tersebut.

Pemeriksaan penguat kuasa menemukan coli atas di atas kerusi dan melihat pintu tandas tertutup sebelum mengetuk serta mengarahkan pintu dibuka.

Pintu tandas tersebut dibuka 3 minit kemudian tetapi orang yang berada di dalamnya tidak terus keluar.

“Penguat kuasa wanita masuk ke tandas dan membuat pemeriksaan. Ditemui seorang wanita yang hanya memakai seluar dalam tanpa pakaian lain.”

Menurut JAINJ, wanita berkenaan kelihatan pucat sebelum diarahkan memakai pakaian lengkap.

Semasa disoal siasat pasangan berkenaan mengaku hanya bersekedudukan dan bukan suami isteri.

Lelaki tersebut berstatus suami orang berumur 30-an dan wanita pula berstatus janda berumur hujung 20-an, kedua-duanya bekerja di daerah ini.

JAINJ dimaklumkan pasangan berkenaan masuk ke bilik dengan menaiki dua kereta berasingan dalam pukul 10.30 malam, sewa hotel dibayar lelaki terbabit.

“Pasangan ini sudah berkenalan di Batu Pahat dalam setahun. Walaupun mempunyai isteri tetapi lelaki ini masih ‘makan luar’ dengan janda tersebut.

“Hubungannya dengan janda ini tidak dihidu atau diketahui oleh isterinya dan hubungan suami isteri mereka adalah sangat baik.

“Wanita ini pada mulanya buat cerita hanya tumpang tandas, akhirnya terpaksa mengaku kesalahannya kerana masuk ke bilik hotel sedangkan banya lagi tandas termasuk stesen minyak atau kedai mamak,” jelas JAINJ lagi.

Pasangan berkenaan akan didakwa bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah negeri kerana disyaki melakukan kesalahan khalwat.

Bagi sebarang aduan kes cegah maksiat boleh berhubung dengan 07-2076429.- MalaysiaGazette

Caption gambar: Penguat kuasa menahan satu pasangan yang berkhalwat dalam sebuah bilik hotel di Batu Pahat hari ini.

 

dengan menghubungi talian 24 jam 07-2076429.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast