GEORGE TOWN – Dewan Usahawan Progresif Malaysia (MPE) bakal mempergiat usaha memperluaskan jaringan perniagaan rentas sempadan menerusi penganjuran kemuncak Program Usahawan Muda ASEAN+3 dengan kerjasama strategik Thailand.
Presidennya, William Khoo berkata, langkah itu selaras dengan komitmen pihaknya untuk membuka lebih banyak peluang kepada usahawan Malaysia meneroka pasaran serantau.
Menurut beliau, usaha berkenaan diteruskan menerusi kunjungan hormat ke Konsulat Jeneral Thailand di Pulau Pinang, kelmarin bagi memperkukuhkan hubungan dua hala dalam bidang perniagaan
“Pertemuan tersebut menjadi platform untuk berkongsi visi dan matlamat program yang memberi penekanan kepada pembangunan usahawan muda, pengukuhan jaringan perniagaan rentas sempadan serta galakan terhadap inovasi.
“Kerjasama erat dengan Konsulat Jeneral Thailand diyakini mampu membuka lebih banyak peluang kepada usahawan tempatan untuk meneroka pasaran serantau dan mengukuhkan hubungan ekonomi dua hala,” katanya di sini, hari ini.
Sidang kemuncak Usahawan Muda ASEAN + 3 yang dijadualkan berlangsung pada 21 hingga 23 Mei tahun depan itu dijangka menarik penyertaan sehingga 500 delegasi dari negara ASEAN termasuk rakan kerjasama dari China, Hong Kong dan Taiwan.
Menurutnya, persiapan penganjuran acara berkenaan kini memasuki peringkat penting selepas menerima kerjasama serta kelulusan sokongan rasmi daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi menjayakan program bertaraf serantau tersebut.
Dalam pada itu, William berharap hubungan yang terjalin menerusi kunjungan tersebut dapat berkembang kepada kerjasama lebih menyeluruh pada masa akan datang, khususnya dalam memperkukuh jaringan komuniti usahawan di peringkat ASEAN.
“Kita turut menghargai sambutan serta kesediaan Konsulat Jeneral Thailand untuk berkongsi pandangan yang dilihat mampu mempererat hubungan antara kedua-dua pihak.
“MPE menyasarkan untuk mengangkat Pulau Pinang sebagai hab keusahawanan belia strategik di rantau Asia Pasifik menerusi penganjuran ASEAN+3 Young Entrepreneurs Summit,” katanya. – MalaysiaGazette
















