Bursa Malaysia Berhad, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Pelabur asing kembali menjadi penjual bersih selepas mencatat pembelian selama dua minggu berturut-turut, dengan aliran keluar bersih berjumlah RM134.3 juta.

MBSB Research berkata, institusi asing menjadi pembeli bersih pada satu daripada lima hari dagangan sepanjang minggu berkenaan, dengan aliran masuk hanya direkodkan pada Selasa (RM169.5 juta).

Aliran keluar tertinggi dicatatkan pada Jumaat (RM148.8 juta), diikuti Rabu (RM72.9 juta), Khamis (RM63.9 juta) dan Isnin (RM18.2 juta).

Tiga sektor yang merekodkan aliran masuk bersih tertinggi daripada institusi asing ialah pengangkutan dan logistik (RM154.4 juta), perkhidmatan kewangan (RM144.9 juta) dan utiliti (RM32.8 juta).

Manakala aliran keluar bersih terbesar dicatatkan dalam sektor produk dan perkhidmatan perindustrian (RM204.8 juta), produk dan perkhidmatan pengguna (RM110.9 juta) serta teknologi (RM65.3 juta).

Firma penyelidikan itu menambah, institusi tempatan pula meneruskan trend jualan bersih untuk minggu ketiga berturut-turut, dengan aliran keluar bersih sebanyak RM88.8 juta.

Sementara itu, pelabur runcit kembali menjadi pembeli bersih selepas mencatat jualan bersih pada minggu sebelumnya, dengan aliran masuk bersih berjumlah RM223.1 juta.

Purata jumlah dagangan harian (ADTV) mencatatkan penurunan secara menyeluruh, dengan penyertaan pelabur runcit susut 12.1 peratus, institusi tempatan 14.1 peratus dan institusi asing 7.0 peratus. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast