SEREMBAN – Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mendakwa kontroversi membabitkan ucapan Menteri Besar Kedah merangkap Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berpunca daripada penggunaan petikan secara selektif sehingga membentuk persepsi negatif terhadap pemimpin berkenaan.
Menurutnya, kontroversi itu bermula selepas ceramah Perdana PN-BN di Jempol, Negeri Sembilan pada 23 Julai lalu, ketika Sanusi menyentuh tiga perkara utama iaitu kedudukan ekonomi orang Melayu, penyusutan kuasa politik Melayu serta keperluan kerjasama antara Pas dan UMNO.
Katanya, Sanusi turut mengaitkan perkara berkenaan dengan sejarah Tanah Melayu, selain menyeru generasi muda Melayu supaya lebih mengambil berat mengenai politik.
“Namun, bahagian yang menjadi kontroversi bermula apabila Malaysiakini pada 24 Julai menerbitkan laporan bertajuk ‘Cina ada China, India ada India, Melayu hanya ada Tanah Melayu – Sanusi’.
“Petikan itu memang disebut oleh Sanusi. Namun persoalan utama bukan sama ada petikan itu benar-benar diucapkan, tetapi sama ada tajuk dan susunan laporan memberikan konteks mencukupi untuk pembaca memahami maksud keseluruhan ucapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Fadhli mendakwa, laporan berkenaan turut mentafsir kenyataan Sanusi sebagai penegasan bahawa Malaysia ialah tempat perlindungan bagi masyarakat pribumi, berbeza dengan kaum lain yang mempunyai negara asal masing-masing.
Katanya, tafsiran berkenaan kemudiannya mengukuhkan persepsi seolah-olah Sanusi mempersoalkan kedudukan rakyat Malaysia berketurunan Cina dan India.
“Ucapan Sanusi sebenarnya turut menyentuh mengenai toleransi masyarakat Melayu yang boleh hidup bersama bangsa berbilang kaum secara aman dan harmoni.
“Beliau juga memberikan contoh peniaga Cina yang membuka kedai dan berniaga di kampung Melayu tanpa diganggu, malah menegaskan ‘kita tak kacau orang’,” katanya.
Menurutnya, bahagian tersebut penting kerana menunjukkan fokus ucapan Sanusi adalah kebimbangannya terhadap kedudukan politik dan ekonomi orang Melayu, bukannya menafikan kewarganegaraan kaum lain atau meminta rakyat Malaysia berketurunan Cina dan India meninggalkan negara ini.
Ahmad Fadhli berkata, kontroversi itu kemudian berkembang selepas beberapa pemimpin politik mengeluarkan kecaman terhadap Sanusi berdasarkan tafsiran bahawa ucapan tersebut menggambarkan kaum Cina dan India sebagai orang luar yang mempunyai negara asal alternatif.
Beliau berkata, antara yang mengkritik ialah Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said.
“Dalam konteks ini, kronologi tersebut memperlihatkan bagaimana satu tajuk berita membentuk kerangka awal perbahasan. Selepas kerangka ‘Cina dan India mempunyai negara lain’ diterima sebagai maksud ucapan, kebanyakan reaksi berikutnya memberikan jawapan kepada tafsiran tersebut, bukannya menganalisis keseluruhan ucapan,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Fadhli berkata, beliau turut mempersoalkan tindakan membuka kertas siasatan susulan laporan polis berkaitan isu berkenaan, sedangkan Sanusi sendiri mendakwa kenyataannya telah diputarbelitkan dan menyatakan kesediaan mengambil tindakan undang-undang.
Beliau turut membandingkan ucapan Sanusi dengan kenyataan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin pada 2019 yang menyentuh mengenai sejarah, identiti dominan dan kedudukan Tanah Melayu.
“Jika ucapan Sanusi dianggap satu kesalahan, bagaimana pula dengan ucapan Dr Mohd Asri ini?” soalnya.
Ahmad Fadhli turut membangkitkan titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Jun lalu yang menyentuh mengenai kedudukan ‘tetamu’ dan ‘tuan rumah’ dalam konteks masyarakat serta negara.
Pada masa sama, beliau memuji pendekatan lebih berhati-hati yang diambil Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, yang menegaskan bahawa Malaysia dimiliki bersama oleh semua warganegara, selain menyatakan kemungkinan kenyataan Sanusi telah disalahfahami atau ditafsirkan secara tidak tepat.
“Pendekatan ini lebih sesuai dalam perbahasan apa-apa isu sensitif. Ia tidak menafikan kebimbangan masyarakat Cina dan India, tetapi tidak terus mensabitkan maksud seseorang hanya berdasarkan tajuk atau petikan terpilih,” katanya.
Menurutnya, media mempunyai hak dan tanggungjawab melaporkan kenyataan pemimpin yang berkepentingan awam, namun dalam isu membabitkan kaum dan agama, ketepatan petikan semata-mata tidak mencukupi tanpa konteks material.
“Malaysiakini sewajarnya menerbitkan penjelasan atau laporan susulan yang mengandungi bahagian ucapan mengenai toleransi antara kaum, rujukan kepada sejarah Persekutuan Tanah Melayu dan penjelasan langsung Sanusi mengenai maksud kenyataannya.
“Pemimpin politik pula tidak sepatutnya tergesa-gesa berlumba-lumba mengeluarkan kecaman hanya berdasarkan tajuk berita. Mereka perlu menonton rakaman penuh, menyemak urutan ucapan dan mendapatkan penjelasan pihak yang berucap sebelum membuat tuduhan serius,” katanya.
Ahmad Fadhli turut menyeru orang awam mengamalkan prinsip tabayyun dengan meneliti bahan penuh sebelum membuat kesimpulan, selain mengingatkan bahawa tajuk berita tidak semestinya memberikan keseluruhan konteks sesuatu ucapan.
“Kesimpulannya, sesuatu petikan yang benar tidak semestinya menghasilkan gambaran yang lengkap terhadap sesuatu ucapan.
“Penyelesaian yang baik boleh dibuat melalui tiga tindakan, iaitu Malaysiakini menjelaskan konteks laporan, Sanusi menerangkan maksudnya secara terus dan semua pihak menilai rakaman penuh sebelum membuat tuduhan,” katanya.
Beliau menegaskan kebebasan media perlu dipertahankan, namun kebebasan itu mesti disertai ketepatan, konteks dan akauntabiliti, manakala kebebasan berpolitik pula perlu disertai kecermatan dalam bertutur.
“Dalam masyarakat majmuk, satu tajuk yang tidak seimbang dan satu ungkapan yang kurang cermat sama-sama boleh mencetuskan salah faham,” katanya. – MalaysiaGazette
















