SENALING – Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu secara peribadi berpandangan Pilihan Raya Umum (PRU) wajar diadakan hanya selepas kerajaan menamatkan penggal pentadbirannya, namun menegaskan keputusan muktamad mengenainya terletak di tangan Perdana Menteri.
Beliau berkata, pendirian itu merupakan pandangan peribadinya dan sebarang keputusan mengenai pembubaran Parlimen adalah hak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kalau pandangan peribadi saya, biarlah sampai habis penggal. Kalau boleh, tetapi itu saya serahkan kepada Perdana Menteri.
“Itu kena tanya perdana menteri,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Kenduri Rakyat dan Ceramah Kelompok Pakatan Harapan (PH) bagi membantu kempen calon PH Dewan Undangan Negeri (DUN) Senaling, Mohd Hanis Mohd Alimin, di Ulu Senaling, malam ini.
Mengulas baki tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Mohamad berkata, fokus beliau kini adalah membantu jentera PH mendekati seramai mungkin pengundi sebelum hari pengundian.
Menurutnya, pendekatan turun padang dan bertemu pengundi secara bersemuka lebih berkesan berbanding mengadakan ceramah berskala besar semata-mata.
“Saya lebih cenderung bertemu kelompok-kelompok kecil. Kita boleh berbual secara dekat dengan rakyat.
“Habis satu program, kita naik kereta dan bergerak ke tempat lain. Cara ini membolehkan kita bertemu lebih ramai pengundi dalam tempoh yang singkat,” ujarnya.
Beliau berkata, tempoh berbaki lima hari sebelum pengundian perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua pimpinan dan jentera PH bagi memastikan mesej parti dapat disampaikan secara terus kepada rakyat.
“Kita harap semua pimpinan akan terus turun padang. Saya sendiri akan cuba berada di Negeri Sembilan sepanjang lima hari terakhir kempen ini,” katanya.
Mohamad berkata, keutamaan ketika ini bukanlah memikirkan soal pilihan raya umum, sebaliknya memastikan PH memperoleh mandat rakyat untuk meneruskan pentadbiran negeri.
PRN Negeri Sembilan akan berlangsung pada 1 Ogos melibatkan kesemua 36 kerusi DUN, dengan tempoh berkempen kini memasuki fasa terakhir. – MalaysiaGazette
















