BATU PAHAT – UMNO Bahagian Parit Sulong mengusulkan Barisan Nasional (BN) bergerak solo dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) tanpa perlu bergabung dengan mana-mana parti.
Ketua UMNO Bahagian Parit Sulong, Datuk Zulkurnain Kamisan berkata, keputusan tersebut adalah sebulat suara daripada pihak perwakilan yang hadir.
Katanya, ini kerana dinamik keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 memberikan petunjuk jelas bahawa formula kerjasama yang longgar akan mendatangkan pelbagai cabaran terhadap parti.
“Untuk itu BN perlu kembali kepada formula asal yang lebih meyakinkan pengundi dengan meletakkan calon di semua Parlimen di semenanjung dan Sabah.
“Suara majoriti orang Melayu di peringkat akar umbi menuntut sebuah entiti politik yang bebas membuat keputusan tanpa terikat dengan kompromi gabungan lain demi memulihkan semula kepercayaan rakyat terhadap kredibiliti dan dominasi perjuangan BN,” katanya.
Zulkirnain berkata demikian selepas Persidangan UMNO Bahagian Parit Sulong yang diadakan di Dewan Orang Ramai Taman Sri Sulong di sini malam tadi.
Katanya, bertanding secara solo membolehkan BN merangka manifesto sendiri, memilih calon tanpa sekatan gabungan luar serta mengembalikan tradisi kekuatan jentera parti di semua peringkat.
“Usul ini dipersetujui semua perwakilan yang bersidang hari ini dengan pendirian bahawa kerajaan Perpaduan Madani bukanlah satu gabungan pakatan politik yang kekal secara ideologi sebaliknya hanyalah satu bentuk persefahaman politik sementara demi kestabilan negara pada pasca pilihan raya,” katanya.
Menurut beliau, Kerajaan Madani ditubuhkan atas dasar titah dan keperluan kestabilan nasional namun tidak wajar dijadikan alasan untuk mencairkan identiti politik, prinsip perjuangan atas autonomi BN dalam jangka masa panjang.
“Memandangkan keputusan serta dinamik politik semasa khususnya iktibar daripada keputusan PRN Johor ke-16 serta mengambil denyut nadi, suara keramat dan sokongan padu orang Melayu di peringkat akar umbi yang menuntut maruah serta kelangsungan parti dihormati,” katanya.- MalaysiaGazette
















