Perkeso ziarah keluarga Muhammad Hafizi dan memaklumkan kelayakan FOT kepada waris mangsa.

SEBERANG PERAI – Waris operator sebuah kilang di negeri ini merupakan penerima pertama yang disahkan layak menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) di bawah Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja atau Lindung 24 Jam yang baru berkuat kuasa 1 Jun lepas.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam kenyataan memaklumkan, Muhammad Hafizi Muhammad Rizal, 22, meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Merbok, Kedah, ketika dalam perjalanan ke rumah rakannya selepas selesai kerja di Sungai Petani, pada 12 Jun lepas.

Katanya, hasil semakan awal Perkeso mendapati, Allahyarham merupakan pencarum aktif kepada pertubuhan itu, sekali gus melayakkan warisnya menerima faedah Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja atau Lindung 24 Jam.

Jelas kenyataan itu, semakan yang dilakukan dengan pihak majikan mengesahkan kemalangan yang berlaku tiada kaitan dengan tugas hakiki, ia adalah urusan peribadi.

“Jika diambil kira peraturan sebelum 1 Jun lalu, arwah tidak layak mendapat faedah kerana kesnya di luar waktu kerja. Namun, dengan pelaksanaan Lindung 24 Jam arwah anak kelima daripada sembilan beradik, masih mampu berbakti meringankan beban kedua ibu bapanya walaupun telah meninggal dunia menerusi Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM3,000 secara sekali bayar serta Faedah Orang Tanggungan bulanan berjumlah RM378 kepada waris.

“Faedah tersebut akan diberikan kepada kedua ibu bapanya untuk sepanjang hayat serta empat adiknya yang akan menerima faedah tersebut sehingga usianya 21 tahun.

“Meskipun jumlah ini terlihat kecil namun, Perkeso berharap ia sedikit sebanyak mampu mengurangkan beban keluarga ini dalam menjalani kehidupan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah kenyataan itu, kisah duka pemergian anak muda itu merupakan satu lagi bukti nyata betapa pentingnya perluasan perlindungan keselamatan sosial komprehensif oleh Perkeso melalui Lindung 24 Jam, yang melindungi pencarumnya daripada musibah luar jangka terutamanya di luar waktu bekerja.

“Kita mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap bantuan diberi sedikit-sebanyak mampu menampung keperluan keluarga Allahyarham,” katanya.

Dalam pada itu, dua lagi Orang Berinsurans (OB) di negeri ini turut menjadi antara penerima faedah Lindung 24 Jam selepas mengalami kecederaan ketika berada di rumah.

Kes pertama melibatkan Mohamad Zain Kia, 33 tahun, yang patah pergelangan tangan kerana terjatuh daripada tangga semasa sedang memotong dahan pokok rambutan di kediamannya di Bayan Baru.

Manakala kes kedua membabitkan Tan Pai Fen, 49, yang melecur dari bahagian perut ke kakinya apabila terkena air panas semasa berada di rumahnya di George Town, 3 Jun lepas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast