Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada media selepas hadir pada Himpunan Usahawan Bumiputera Negeri Sembilan 2026 di D'Tempat Country Club Sendayan, Negeri Sembilan. Foto MOHD ADZLAN, 27 JULAI 2026.

SEREMBAN – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan rakyat Negeri Sembilan supaya tidak mengulangi kesilapan lalu, sebaliknya menjadikan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 1 Ogos ini sebagai titik perubahan atau ‘game changer’ untuk mengembalikan momentum pembangunan negeri.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, pembangunan tergendala yang berlaku sebelum ini tidak seharusnya berulang kerana Negeri Sembilan memerlukan kesinambungan pembangunan yang mampu memberi manfaat langsung kepada rakyat, khususnya dalam memperkukuh ekonomi dan memperkasa golongan usahawan.

“Kesilapan lalu jangan pernah berulang. Kegendalaan lalu jangan pernah kita gandakan. Kesilapan lalu harus kita bilas dengan menentukan bahawa ‘game changer’ mesti dilakukan pada 1 Ogos ini untuk mengembalikan semula (momentum pembangunan),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Usahawan Bumiputera Negeri Sembilan di Bandar Sri Sendayan, di sini hari ini.

Hadir sama adalah Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Rubiah Wang dan Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Ahmad Zahid berkata, usahawan khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) merupakan antara tonggak penting dalam memacu ekonomi negeri selain berperanan mencipta peluang pekerjaan dan membuka pasaran baharu.

Katanya, setiap perniagaan yang dibuka, produk yang dihasilkan serta pasaran baharu yang ditembusi akan memberi kesan langsung kepada kekuatan ekonomi sesebuah negeri.

“Kalau kita bercakap tentang kita mengembalikan semula Negeri Sembilan, para usahawan mesti berada di garisan paling hadapan.

“Saudara-saudarilah yang telah mencipta pekerjaan baharu dan saudara-saudarilah yang akan, insya-Allah, menunjukkan ke hadapan pembangunan Negeri Sembilan yang lebih cemerlang,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, program pembangunan yang baik perlu dirancang dan dilaksanakan secara tersusun supaya manfaatnya dapat dirasai rakyat, bukannya tergendala akibat pelbagai faktor lain.

Beliau berkata, pengalaman lalu perlu dijadikan pengajaran supaya usaha membangunkan Negeri Sembilan dapat diteruskan dengan lebih berkesan, termasuk dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan Bumiputera.

Ahmad Zahid turut menggesa usahawan Negeri Sembilan supaya berani melangkah lebih jauh dengan menembusi pasaran antarabangsa menerusi platform Gate to Global yang dirintis oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Katanya, MARA bukan sahaja menyediakan pembiayaan, malah memainkan peranan penting dalam membimbing usahawan dari aspek pengurusan, jaringan perniagaan dan penerokaan peluang pasaran baharu.

“Dalam perniagaan, pendedahan itu penting. Penjenamaan itu penting. Networking atau rangkaian itu juga penting.

“Lebih daripada itu, saya mahu usahawan Negeri Sembilan berani melangkah lebih jauh dan menembusi pasaran antarabangsa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast