Pelarian Rohingya berada di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur selepas dipindahkan dari Hadapan pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Jalan Bukit Petaling ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 28 JULAI 2026. (Gambar hiasan).

KUALA LUMPUR –  Seramai 113 pelarian termasuk 110 warga Rohingya yang ‘berkampung’ di hadapan pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) kini ditempatkan sementara di Dataran Wira, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, hasil semakan dokumentasi ke atas warga Rohingya yang terlibat mendapati mereka mempunyai dokumen sah iaitu kad pelarian UNHCR.

“Pada pukul 8.50 malam, polis telah memindakan 113 pelarian yang terdiri daripada seorang warga Iraq, seorang wanita warga Somalia dan seorang wanita warga Indonesia yang merupakan isteri kepada pelarian Rohingya.

“Selain itu, seramai 110 pelarian Rohingya turut dipindahkan, melibatkan 36 lelaki dewasa, 21 wanita dewasa, 31 kanak-kanak lelaki dan 22 kanak-kanak perempuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Fadil, dokumentasi telah dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur (JSJN),  Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Kuala Lumpur (JKA) serta wakil pejabat UNHCR.

“Kesemua warga Rohingya ini ditempatkan di Dataran Wira sementara menunggu tindakan lanjut dari pihak UHCR,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast