Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga calon PH N.32 Linggi, Datuk Seri Aminuddin Harun meninjau pusat mengundi awal sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Dewan Tan Sri Mohammad Kem Segenting, Port Dickson, Negeri Sembilan. Foto SADIQ SANI, 28 JULAI 2026.

SEREMBAN – Pengundi muda dan pengundi kali pertama di Negeri Sembilan wajar menghargai rekod pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dengan terus memberikan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, 1 Ogos ini.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Ahmad Fadly Abdul Rahman berkata, Aminuddin telah membuktikan dirinya sebagai pemimpin yang prihatin terhadap keperluan golongan muda khususnya mereka yang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Menurut beliau, sekiranya Aminuddin diberikan mandat untuk menerajui Negeri Sembilan bagi penggal seterusnya, lebih banyak bantuan dan inisiatif dijangka dapat disalurkan kepada golongan muda yang memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju politik dan pembangunan negeri.

Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk Bantuan Sara Hidup Dermasiswa Mahasiswa Anak Negeri Sembilan sebanyak RM200 sebulan, pemberian komputer riba percuma kepada pelajar daripada keluarga B40 yang layak serta sokongan persediaan sebelum memasuki alam pekerjaan.

“Pemerhatian awal menunjukkan bahawa naratif yang dibawa oleh PH dalam kempen ini memberi penekanan kepada rekod pentadbiran, khususnya bantuan kepada mahasiswa, golongan B40 dan pembangunan modal insan.

“Pendekatan ini menyasarkan pengundi muda yang melihat pendidikan, kos sara hidup dan peluang pekerjaan sebagai isu utama.

“Sekiranya inisiatif seperti dermasiswa, komputer riba dan program kebolehpasaran graduan benar-benar memberi manfaat, ia merupakan aspek yang boleh dinilai sebagai sebahagian daripada prestasi kerajaan semasa,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Fadly berkata, tiada satu gabungan politik yang sempurna kerana setiap parti mempunyai kekuatan, cabaran dan rekod yang perlu dinilai oleh pengundi.

Sehubungan itu, beliau berkata, pengundi perlu membuat keputusan berdasarkan beberapa persoalan penting termasuk sama ada janji yang ditawarkan adalah realistik dan mampu dilaksanakan.

“Apakah rekod pencapaian calon dan parti di kawasan masing-masing?Siapakah yang lebih berupaya menangani isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendidikan dan pembangunan negeri?

“Adakah calon mempunyai integriti, kemampuan dan komitmen untuk berkhidmat kepada rakyat?” soalnya.

Justeru, katanya, demokrasi yang matang bukan sekadar memilih berdasarkan slogan, sebaliknya berdasarkan penilaian terhadap prestasi, dasar, manifesto dan keupayaan setiap calon untuk membawa manfaat kepada rakyat.

Beliau berkata, undi yang dibuat berdasarkan maklumat dan pertimbangan teliti akan membantu menentukan hala tuju Negeri Sembilan bagi tempoh lima tahun akan datang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast