Ketua Penerangan Barisan Nasional, Datuk Seri Azalina Othman Said (dua kiri) mengiringi calon BN N.18 Pilah, S Leza Md Yasin (dua kanan) beramah mesra dengan penduduk setempat sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Pekan Kuala Pilah. Foto FAREEZ FADZIL, 28 JULAI 2026.

KUALA PILAH – Barisan Nasional (BN) yakin pendekatan mempertaruhkan calon tempatan yang dekat dengan masyarakat mampu memberi kelebihan kepada parti itu meraih sokongan pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, calon BN bagi kerusi berkenaan, S Leza Md Yasin bukan sahaja mempunyai pengalaman dalam politik malah dikenali penduduk setempat hasil peranannya sebagai Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuala Pilah.

Menurutnya, maklum balas yang diterima sepanjang turun padang bersama calon itu menunjukkan sentimen positif dalam kalangan pengundi.

“Saya hari ini berada di Kuala Pilah bersama calon kita. Walaupun beliau calon baharu tetapi mempunyai pengalaman politik sebagai Ketua Wanita Bahagian.

“Saya sudah pusing bertemu orang ramai dan apa yang saya lihat agak positif. Banyak juga komen yang saya dengar mengatakan wakil rakyat sebelum ini selepas menang sukar ditemui.

”Saya tidak tahulah sejauh mana benarnya tetapi itu antara maklum balas yang saya terima,” katanya kepada sekumpulan media ketika berkempen di Pekan Pilah petang ini.

Ketua Penerangan Barisan Nasional, Datuk Seri Azalina Othman Said bersama calon BN N.18 Pilah, S Leza Md Yasin bercakap kepada media sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Pekan Kuala Pilah. Foto FAREEZ FADZIL, 28 JULAI 2026.

Azalina berkata, bagi pilihan raya negeri, faktor calon tempatan menjadi antara pertimbangan utama pengundi kerana mereka lebih memahami keperluan dan isu yang dihadapi penduduk.

“Negeri berbeza dengan Parlimen. Wakil rakyat negeri lebih fokus kepada isu tempatan dan masalah rakyat di kawasan masing-masing.

“Apabila calon yang ditawarkan ialah anak tempatan yang menetap di sini sudah tentu mereka lebih memahami kehendak masyarakat dan lebih mudah dihubungi apabila diperlukan,” ujarnya.

Beliau berkata, atas faktor itu BN optimis calon parti berkenaan mampu memperoleh kemenangan dengan sokongan pelbagai lapisan masyarakat.

Mengulas mengenai strategi mendekati pengundi muda termasuk pengundi berusia 18 tahun, Azalina berkata, BN tidak pernah mengabaikan golongan itu kerana usaha mendekati generasi muda telah dilaksanakan sejak sekian lama.

Katanya, UMNO dan BN mempunyai sayap khusus seperti Pergerakan Pemuda dan Puteri yang secara konsisten mendampingi golongan muda, menjadikan parti itu sentiasa dekat dengan generasi baharu.

“Ini bukan sesuatu yang baharu. UMNO dan BN sudah lama memberi fokus kepada orang muda bukan hanya selepas pelaksanaan Undi18.

“Hubungan dengan pengundi muda juga banyak dipengaruhi institusi keluarga kerana sokongan politik selalunya berkembang dalam kalangan ahli keluarga,” katanya.

Beliau turut menyifatkan pengalaman panjang BN dalam politik menjadi kekuatan utama parti itu untuk terus kekal relevan dalam memperjuangkan isu rakyat.

“UMNO sentiasa menjadi parti yang relevan kerana kita memahami isu rakyat dan keperluan masyarakat.

“Sebab itu manifesto BN untuk PRN Negeri Sembilan kali ini memberi tumpuan kepada agenda berteraskan rakyat atau people centric,” jelasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast