Laporan itu dibuat Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer bersama Senator Dr Lingeshwaran Arunasalam, Senator Thiagarajah Arumugam dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, Preakas Sampunathan.

SEREMBAN – DAP hari ini membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamsul Kahar Mohd Deli.

Ia susulan dakwaan beliau mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah yang mengaitkan parti itu dengan karikatur menghina Sultan Selangor ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Laporan itu dibuat Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer bersama Senator Dr Lingeshwaran Arunasalam, Senator Thiagarajah Arumugam dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, Preakas Sampunathan.

Rayer berkata, laporan polis berkenaan dibuat selepas beliau mengesan satu klip video ucapan Shamsul Kahar ketika berkempen di kawasan Seremban Jaya hari ini.

Menurut beliau, dalam ucapan tersebut, Ahli Parlimen Jempol itu didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah dan berniat jahat dengan mengaitkan DAP dengan karikatur menghina Sultan Selangor.

Beliau berkata, antara kenyataan yang dipetik daripada ucapan berkenaan ialah, “Lepas itu lagi menghina Sultan Selangor, dia punya gambar apa, gambar apa, kurang ajar betul, betul tak… Kenapa parti DAP ini berani buat macam ini.”

Katanya, kenyataan tersebut jelas memberikan gambaran dan persepsi palsu kepada para hadirin di ceramah berkenaan bahawa DAP bertanggungjawab melukis karikatur Sultan Selangor seolah-olah seperti khinzir.

“Dakwaan tersebut adalah tidak benar dan merupakan satu kenyataan berunsur fitnah serta berniat jahat terhadap Parti DAP,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rayer berkata, video ucapan berkenaan turut ditularkan di platform media sosial Facebook oleh seorang individu yang dikenali sebagai Suffi Kamari.

Beliau berkata, penyebaran video berkenaan menyebabkan dakwaan itu terus tersebar kepada orang ramai melalui media sosial.

Sehubungan itu, pihaknya telah membuat laporan polis dan mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kenyataan berkenaan.

“Kami mendesak pihak PDRM untuk segera menjalankan siasatan menyeluruh terhadap laporan ini agar tindakan tegas dapat diambil terhadap pihak yang mengeluarkan kenyataan berniat jahat serta mereka yang menyebarkan fitnah ini,” tegasnya.

Beliau berkata, laporan polis itu dibuat bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil mengikut undang-undang terhadap individu yang terlibat mengeluarkan kenyataan dan menyebarkan dakwaan berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast