JELEBU – Pusat Komuniti Desa (PKD) merupakan inisiatif Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang berfungsi sebagai ‘Satu Hentian Pelbagai Perkhidmatan’ untuk memperkasa kesejahteraan masyarakat luar bandar.
PKD merupakan penstrukturan semula Rural Transformation Centre (RTC) dan Mini Rural Transformation Centre (MRTC) yang kini beroperasi melalui 191 buah PKD di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Masyarakat luar bandar kini menikmati akses yang lebih mudah kepada pelbagai perkhidmatan kerajaan, agensi, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan.
Di semua PKD, komuniti boleh mengikuti latihan kemahiran dan ICT, meningkatkan literasi digital, mengembangkan perniagaan serta mempromosikan produk tempatan bagi menjana pendapatan.

PKD turut menjadi pusat aktiviti komuniti yang menggalakkan aktiviti kesukarelawanan, kerjasama strategik dan penglibatan masyarakat dalam membangunkan kawasan mereka sendiri.
Lebih daripada sekadar sebuah pusat perkhidmatan, PKD menjadi pemangkin kepada pembangunan komuniti yang lebih berdaya saing, inklusif dan mampan.
Salah satu PKD yang aktif adalah PKD Kampung Gagu, yang terletak berdekatan Pekan Kuala Klawang, dalam Daerah Jelebu, Negeri Sembilan.
PKD Kampung Gagu ini terus membuktikan peranannya sebagai wadah penting dalam pemerkasaan ekonomi tempatan serta pembangunan kemahiran masyarakat luar bandar.
Penganjuran pelbagai kursus berasaskan kemahiran teknikal, kraf tangan, masakan hingga ke keusahawanan bukan sahaja mengisi masa lapang penduduk malah membuka peluang penjanaan pendapatan baharu.
Bagi pasangan suami isteri, Zainal Abidin Tahar, 54, dan Rafidah Abd Radzak, 53, fleksibiliti masa menjadi faktor utama mereka konsisten menyertai lebih 10 modul latihan di PKD tersebut.
Zainal berkata, kursus yang ditawarkan sangat praktikal untuk kegunaan harian dan kemasyarakatan.
“Saya gembira kerana PKD menawarkan kursus yang dekat dengan saya seperti asas teknikal.
“Saya pernah sertai program pemasangan televisyen litar tertutup (CCTV), pendawaian elektrik, pelbagai jenis kraf tangan serta masakan.
“Kursus di sini tidak membebankan dan sangat sesuai untuk komuniti,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Jelasnya, dengan maklumat program yang sentiasa dimaklumkan awal oleh pegawai bertugas, sekali gus memudahkan pasangan ini menyesuaikan jadual harian untuk hadir bersama.
Bagi isterinya, Rafidah turut berharap agar lebih ramai golongan muda mengambil peluang menyertai program sedemikian sebagai persediaan pelapis kemahiran pada masa hadapan.
“Banyak program menarik cuma golongan muda tak ramai yang ada di sini, jadi sayang sangat. Saya dan suami suka datang kursus PKD dan banyak ilmu yang kami dapat,” katanya.
Manfaat PKD turut dirasai oleh golongan pesara seperti Tan Seng Siew, 57, yang menganggap penglibatan dalam kursus anjuran PKD sebagai ruang terapi dan keseimbangan hidup selepas bersara.

Baginya, selain menjimatkan kos dan perjalanan berbanding menghadiri kursus luar, kepelbagaian modul teknikal seperti asas penyelenggaraan motosikal amat menarik minatnya.
“Saya suka belajar perkara baharu. Selain kraf tangan, ada juga kursus pemotoran dan pendawaian. Sedikit sebanyak saya tahu ilmu asas baiki motosikal membantu saya mengisi masa lapang dengan aktiviti berguna yang menenangkan fikiran di luar rutin harian,” katanya.
Bukan sekadar untuk penduduk setempat, Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Kuala Klawang juga tidak pernah melepaskan peluang untuk hadir ke kursus yang disediakan PKD sebagai penyediaan latihan kemahiran khas buat Orang Kurang Upaya (OKU).
Bagi petugas PDK Kuala Klawang, Norhidatul Akmar Mohan, pihaknya kerap membawa pelatih OKU menyertai modul perintis seperti pembuatan beg, seni kraf songket dan cetakan cawan untuk mempertingkat keupayaan pra-vokasional mereka.
“Kami hadir dengan membawa seorang pelatih. Tapi bergantung pada kursus juga, mana yang sesuai untuk Kemahiran mereka, kami akan bawa.

“Sekurang-kurangnya dengan kursus ni mereka akan tambah ilmu lagi-lagi kursus berkaitan Kemahiran yang mereka boleh gunakan,” katanya.
Seorang pelatih OKU pembelajaran, Noor Yusmaliza Mohd Jamal, 29, pula meluahkan rasa teruja kerana dapat mempelajari teknik pembuatan beg yang dijadikan hadiah istimewa buat ibunya.
“Seronok sangat dapat buat beg hari ini. Senang je buat beg, potong bunga, lepas tu tampal dengan gam. Beg ni saya nak bagi pada mak, nanti nak buat lagi di pusat latihan,” kata Yusmaliza bangga.
Seorang lagi petugas PDK, Norhamiza Hamzah, 32, turut menekankan kemahiran praktikal yang diperoleh melalui PKD berupaya membuka pintu rezeki kepada insan istimewa ini untuk berdikari secara kewangan.

“Masa depan anak-anak istimewa ini perlukan platform kemahiran. Hasil pembelajaran di sini akan dipraktikkan semula di PDK. Sebelum ini, mereka sudah berjaya menghasilkan apron, bantal, serta perniagaan mi kuning berstatus halal.
“Dengan kemahiran baharu ini, kami berhasrat memasarkan hasil kraf mereka menerusi platform media sosial seperti TikTok dan Facebook,” kongsinya.
Bagi golongan wanita dan suri rumah seperti Norshahida Mohd Noor, 47, PKD merupakan medan mengasah bakat keusahawanan secara berkala sejak sebelum tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi.
Norshahida yang menjalankan perniagaan sendiri memanfaatkan kursus seperti gubahan jambangan bunga (bouquet) dan seni jahitan beg untuk memperluas liputan produk jualannya.

“Bagi saya yang bekerja sendiri, kursus di PKD amat berbaloi. Tempat belajar pun dekat sangat berbanding di luar yang jauh.
“Ia menjadi tempat terbaik untuk menambah ilmu, mengasah kreativiti, sekali gus meningkatkan mutu hasil kerja saya,” katanya.
Secara keseluruhannya, penerimaan positif daripada pelbagai lapisan masyarakat ini membuktikan kewujudan Pusat Komuniti Desa seperti di Kampung Gagu bukan sekadar fasiliti awam, sebaliknya ejen transformasi sosioekonomi yang inklusif dan memberi impak mendalam kepada komuniti luar bandar. – MalaysiaGazette
Liputan Berkaitan:
Pusat Komuniti Desa (PKD) Perkasa Kemahiran Komuniti Desa
PPRS KKDW Penuhi Impian Penduduk Miliki Tempat Berlindung Lebih Selesa















