Chow Kon Yeow.

GEORGE TOWN – Kerajaan negeri Pulau Pinang akan terus memantau perkembangan komuniti etnik Rohingya di beberapa kawasan di negeri ini susulan kebimbangan penduduk terhadap peningkatan jumlah mereka.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, semua pihak yang berada di negara ini perlu menghormati undang-undang serta menggunakan saluran yang betul sepanjang berada di Malaysia.

Menurutnya, kerajaan negeri memahami kebimbangan penduduk tempatan berhubung kewujudan komuniti Rohingya yang dikatakan memberi kesan terhadap keadaan sosial dan ekonomi setempat.

“Negara ini mempunyai undang-undang. Kita tidak boleh membenarkan tindakan yang menjejaskan kehidupan penduduk, mengganggu kegiatan mereka atau menyebabkan halangan kepada ruang awam.

“Mereka yang datang ke sini perlu menghormati undang-undang dan menggunakan saluran yang betul,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai perpindahan secara sukarela lebih 100 etnik Rohingya dari penempatan sementara di bekas tapak tsunami Penaga, Kepala Batas ke pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) di Kuala Lumpur, semalam.

Kon Yeow berkata, keputusan komuniti berkenaan untuk berpindah menunjukkan mereka memahami kebimbangan yang disuarakan penduduk setempat.

Katanya, peningkatan jumlah komuniti Rohingya juga memerlukan pemantauan lebih berkesan bagi mengelakkan timbul cabaran dari segi pengurusan pada masa depan.

“UNHCR juga perlu memainkan peranan lebih aktif dalam memantau perkembangan isu berkenaan kerana apabila jumlah etnik ini bertambah, ia akan mewujudkan cabaran dalam menguruskan keadaan,” katanya.

Media semalam melaporkan persaingan ekonomi dan pertambahan jumlah penempatan warga Rohingya menjadi faktor 121 etnik tersebut berpindah secara sukarela dari penempatan sementara bekas tapak tsunami Penaga, Kuala Muda di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, kesemua mereka berpindah ke pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Kuala Lumpur untuk proses selanjutnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast