PENAGA – Penduduk Kampung Kuala Muda di sini, mengakui pertambahan komuniti etnik Rohingya sehingga membentuk penempatan kecil mencetuskan kebimbangan terhadap landskap masa depan kampung itu.
Apatah lagi, rata-rata penduduk berpandangan kegiatan ekonomi penduduk tempatan berisiko terjejas sekiranya kawasan kampung didominasi etnik berkenaan.
Penduduk, Wan Nor Azian Wan Ibrahim, 43, berkata, tiga perbincangan sudah diadakan membabitkan penduduk, pemilik rumah, polis dan wakil Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) sebelum kata sepakat dicapai untuk memberi tempoh sehingga 26 Julai kepada komuniti Rohingya berkenaan berpindah secara sukarela.

Katanya, dulu hanya 12 rumah disewa, tetapi lama-kelamaan meningkat kepada 33 rumah, sekali gus menyebabkan penduduk terpaksa memikirkan masa depan kampung jika jumlah etnik itu terus bertambah.
“Meskipun ketika berada di sini etnik itu tidak membuat masalah atau kacau ganggu penduduk namun pertambahan mereka membuatkan penduduk mula tidak selesa.
“Malah, ketika pemindahan dibuat tiada pergaduhan, pertengkaran dan keganasan. Mereka mengemas barang dan berpindah secara aman. Ramai memuji penduduk Kuala Muda kerana semuanya berjalan dengan baik.
“Selain itu, sebahagian besar komuniti Rohingya itu juga tidak mengetahui destinasi baharu mereka selepas meninggalkan Kampung Kuala Muda dan percaya urusan seterusnya akan dibantu UNHCR, katanya ketika ditemui di sini.
Sementara itu, nelayan, Mohammad Rizal Ahmad, 52, berkata, penduduk mula memberi perhatian terhadap isu itu selepas 25 etnik Rohingya baharu dipercayai mendarat melalui laut kira-kira dua bulan lalu sebelum ditahan pihak berkuasa.

“Sejak kejadian itu, orang kampung mula memberi perhatian terhadap pertambahan mereka.
“Jika tiada tangkapan itu, mungkin penduduk pun tak sedar penambahan mereka kerana kebanyakan mereka menyewa rumah lama milik penduduk tempatan dan tidak membina penempatan haram,” katanya.
Tambah Mohammad Rizal, segelintir komuniti Rohingya yang menetap di sini turut menjadi tenaga kerja dalam sektor perikanan.
“Kalau ada mereka, cukup orang untuk turun ke laut. Kalau tiada, kadang-kadang kami terpaksa tambat bot kerana tidak cukup awak-awak,” katanya.
Bagi peniaga, Rohana Mohamad, 56, sepanjang tiga tahun berniaga berhampiran Pantai Kuala Muda, dia tidak pernah berdepan sebarang masalah dengan komuniti Rohingya.

Bagaimanapun, dia mengakui jumlah komuniti Rohingya di kawasan itu semakin bertambah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Dulu hanya beberapa keluarga, tetapi lama-kelamaan semakin ramai. Sebab itu penduduk mula memikirkan keadaan kampung pada masa depan.
“Saya tak pernah nampak mereka buat kacau tapi mungkin sebab orang tempatan masih ramai tapi bila tahu ada penambahan dalam diam, penduduk sepakat lakukan perbincangan sebelum urusan perpindahan mereka berlangsung pada Ahad lalu,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN
Media semalam melaporkan persaingan ekonomi dan pertambahan jumlah penempatan warga Rohingya menjadi faktor 121 etnik tersebut berpindah secara sukarela dari penempatan sementara bekas tapak tsunami Penaga, Kuala Muda di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, kesemua mereka berpindah ke pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Kuala Lumpur untuk proses selanjutnya. – MalaysiaGazette
















