PUTRAJAYA – Kerajaan memutuskan pengurusan pelajar tingkatan enam akan kekal di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) buat buat masa ini bagi memastikan kelancaran pelaksanaan sistem sedia ada.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan ini mengambil kira pengurusan pelajar tingkatan enam, selain skim berkaitan perkhidmatan guru.
Meskipun begitu, pelajar tingkatan enam perlu diberi nafas baharu dan mempunyai identiti tersendiri serta suasana pembelajaran yang sesuai dengan tahap akademik mereka.
“Buat masa sekarang saya putuskan supaya pra-universiti tingkatan enam ini masih di bawah KPM buat sementara, walaupun terdapat cadangan rasional untuk memindahkan pengurusan tingkatan enam ke bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT),
“Kita perlu dengar pandangan semua pihak sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan bersama warga Kementerian Pendidikan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai hala tuju tingkatan enam, perdana menteri menegaskan, suasana pembelajaran pelajar pra-universiti itu perlu diubah agar tidak lagi dilihat sebagai sebahagian daripada sesi persekolahan biasa.
“Yang penting, tingkatan enam itu jangan dijadikan (sebahagian daripada) sekolah itu sentimen pra-universiti. Kalaupun dalam satu sekolah yang sama, tingkatan enam harus ada blok berasingan dan pengetua perlu menguruskannya sebagai satu projek atau bahagian yang berbeza.
“Jangan dimasukkan dalam perhimpunan sekolah (arus perdana). Biar perhimpunan itu untuk pelajar tingkatan lima ke bawah sahaja, manakala tingkatan enam diberi pengiktirafan khas sebagai bahagian pra-universiti walaupun mereka berada dalam gedung sekolah yang sama,” tegas beliau.
Perdana Menteri itu berkata, langkah tersebut bertujuan memberi persekitaran yang lebih matang dan kondusif kepada pelajar tingkatan enam selaras dengan status mereka sebelum melangkah ke peringkat menara gading.
Selain itu katanya, kerajaan akan memperluaskan Bantuan Am Persekolahan (BAmP) kepada lebih 30,000 pelajar tingkatan enam itu setaraf dengan bantuan yang diterima murih Tahun Satu hingga Tingkatan Lima.
“Kalau pelajar dari darjah satu sampai darjah enam, tingkatan satu sehingga tingkatan lima kita bagi wang saku RM150 tetapi untuk tingkatan enam terlepas.
“Itu satu skim buku beli buku baru ni saya umum.. kemudian kita kata untuk sekolah dan universiti. Banyak bantuan-bantuan lain macam makanan, kemalangan tapi bantuan untuk tingkatan enam tertinggal.
“Saya sudah berbincang dengan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) agar pelajar tingkatan enam menerima manfaat sama seperti murid darjah satu sehingga tingkatan lima,” jelasnya. – MalaysiaGazette















