Wakil Perodua dan Unimo Enterprises Limited semasa pelancaran Perodua Traz dan Perodua Alza di Colombo, Sri Lanka baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Perodua mengeksport model terbaharunya, Traz ke Sri Lanka bersama-sama dengan model kenderaan pelbagai guna (MPV) terlaris keluaran syarikat kenderaan kompak itu, Alza.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, Sri Lanka kekal menjadi satu daripada pasaran eksport terbesar Perodua, dengan jualan lebih 20,000 unit sejak tahun 1997.

Zainal berkata, Perodua kini mengeksport model siap dipasang sepenuhnya ke enam negara iaitu Brunei, Fiji, Mauritius, Bangladesh, Papua New Guinea serta Sri Lanka.

“Kami juga merancang untuk mengeksport kenderaan pre-owned vehicles kami dan setakat ini, kami telah mengembangkan pasaran termasuklah ke Timor Leste tahun ini,” katanya.

Menurut Zainal, harga pengenalan khas Perodua Traz akan diberikan kepada 50 pelanggan terawal iaitu Rs. 19,950,000 (dengan aksesori tambahan) (RM243,090) dan Rs. 19,200,000 (tanpa aksesori tambahan) ( RM233,957.23), manakala untuk Perodua Alza, ia dijual pada harga Rs. 19,950,000 (RM243,090).

Kesemua harga yang dinyatakan adalah termasuk cukai.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kumpulan United Motors Lanka PLC, Chanaka Yatawara berkata, sejak sekatan import kenderaan dibatalkan pada 2025, syarikat berkenaan telah menjual hamper 3,000 unit kenderaan dan iamencerminkan kepercayaan kuat pelanggan di Sri Lanka terhadap jenama Perodua.

“Dengan keupayaan pengeluaran Perodua yang telah terbukti serta rangkaian jualan serta servis Kumpulan United Motors, kami yakin Traz dan Alza akan terus meraih kepercayaan di kalangan keluarga serta pemilik perniagaan di Sri Lanka,” katanya.

Perodua Traz dilancarkan pada December 2025 dan direka untuk menjadi kenderaan mesra pengguna Perodua dengan slogan ‘Engineered Simplicity’, dan ia direka dengan mengambil kira keperluan pemandu di Malaysia.

Sementara itu, Perodua Alza dilancarkan pada 2022 dan telah mencatat jumlah pendaftaran sebanyak 19,504 unit antara Januari hingga Jun tahun ini, menurut data yang dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast