SEREMBAN – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan supaya langkah dan kaedah terbaik dicari bagi memastikan harga minimum getah mencecah RM5 sekilogram menjelang akhir 2027.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata, sasaran itu penting bagi memastikan pekebun-pekebun kecil memperoleh pendapatan lebih baik sekali gus meningkatkan taraf sosial dan kehidupan mereka.
“Arahan saya, cari jalan, pada akhir tahun 2027, cari jalan pastikan harga minimum getah RM5 satu kilogram.
“Itulah harga yang bermaruah. Itulah harga yang boleh mempertingkatkan status sosial kehidupan pekebun-pekebun kecil, katanya dalam ucapan ketika merasmikan Konvensyen Pekebun Kecil peringkat zon tengah hari ini.
Turut hadir, timbalannya, Datuk Rubiah Wang dan Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib.
Menurut Ahmad Zahid, usaha memastikan harga getah berada pada paras yang lebih baik perlu diberi perhatian serius bagi menjaga kebajikan pekebun kecil yang menjadi antara penyumbang utama kepada industri getah negara.
Beliau berkata, kerajaan perlu terus mencari pendekatan terbaik bagi memastikan nasib pekebun kecil terbela, termasuk memastikan harga komoditi berkenaan kekal pada paras yang mampu memberikan pulangan lebih baik.
Ahmad Zahid berkata, usaha itu juga selari dengan komitmen kerajaan untuk meningkatkan prestasi dan pertumbuhan ekonomi, selain memartabatkan kehidupan pekebun kecil di seluruh negara.
“Namun, jangan berkompromi bahawa harga getah juga harus dipertahankan dan harus dipertikaikan. Itu perjuangan Perdana Menteri dan kerajaan untuk membela pekebun-pekebun kecil di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata, usaha meningkatkan harga getah bukan sekadar bertujuan menambah pendapatan pekebun kecil, malah penting bagi memastikan sektor itu terus kekal mampan dan menarik minat generasi muda untuk meneruskan perusahaan getah.
“Ramai mengatakan harga getah bergantung kepada permintaan dan penawaran di pasaran global. Itu memang teori ekonomi tetapi kita perlu mencari pendekatan baharu supaya maruah, prestasi dan pertumbuhan ekonomi pekebun kecil dapat dipertingkatkan.
“Kita mahukan harga getah yang bermaruah. Ini bukan soal mempromosikan getah semata-mata tetapi membantu pekebun kecil yang menjadi penyumbang utama kepada pengeluaran getah negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















