KUALA LUMPUR – Datuk Teng Chang Khim didakwa mengetahui hantaran beliau mengenai isu ‘Malaysia’ dan ‘Tanah Melayu’ adalah salah, menyebabkan dia memadamkan tulisannya itu selepas enam jam dimuatnaik menerusi media sosial.
Pemerhati politik, Eric See-Too atau lebih dikenali sebagai Lim Sian See berkata, meskipun veteran DAP berbuat demikian namun hakikatnya tulisannya itu pernah diterbitkan, dibaca dan ditangkap layer dan diperkatakan.
Tegasnya, Internet bukan papan putih sekolah – padam pun kesannya masih tinggal.
Menyifatkan hantaran Chang Khim itu merosakkan kepercayaan antara kaum, sekali gus memberi alasan kepada orang Melayu untuk mengesyaki agenda DAP, walaupun ramai masyarakat Cina langsung tidak bersetuju dengan sikap sebegini.
Hujahnya, Chang Khim bukan orang biasa yang baru belajar menggunakan Facebook, sebaliknya beliau adalah bekas Speaker DUN Selangor serta bekas Exco Kerajaan Selangor dan kini adalah Pengerusi SME Corp.
SME Corp pula ialah agensi kerajaan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang dijaga oleh Menteri DAP.
Sian See berkata, sebagai seorang pengerusi agensi kerajaan, beliau sepatutnya membina keyakinan semua kaum, bukan menerbitkan hantaran yang memperlekeh warisan sejarah satu komuniti terbesar negara.
“Oleh itu, persoalannya bukan sama ada beliau boleh memetik Perkara 1(1). Sudah tentu beliau boleh. Persoalannya ialah sama ada seseorang yang mempunyai pertimbangan sebegini masih sesuai mempengerusikan sebuah agensi kerajaan yang perlu berkhidmat kepada usahawan Melayu, Cina, India,bumiputera Sabah dan Sarawak secara adil.
“Pada pandangan saya, dia tidak sesuai dan patut dipecat sebab ‘bodow’ dan sering cetuskan kontroversi,” tegas beliau dalam hantarannya di Facebook.
Sian See berkata, hantaran Chang Khim ini bukan sekadar tidak sensitif, tetapi angkuh, provokatif dan langsung tidak membantu hubungan antara kaum.
“Ya, Perkara 1(1) Perlembagaan menetapkan bahawa Persekutuan dikenali sebagai Malaysia. Dari sudut nama rasmi negara, itu memang benar.
“Tetapi betul dari segi teknikal tidak bermakna seseorang boleh dengan angkuh mengisytiharkan bahawa nama, semangat dan warisan “Tanah Melayu” sudah “berakhir”,” ujarnya.
Apatah lagi, Perlembagaan sendiri masih mengandungi rujukan sejarah dan undang-undang kepada Persekutuan Tanah Melayu, termasuk dalam peruntukan serta tafsiran berkaitan kemerdekaan, kewarganegaraan dan pembentukan Malaysia.
Hujah beliau lagi, Malaysia tidak muncul daripada ruang kosong pada 1963, ia dibina daripada sejarah Persekutuan Tanah Melayu bersama Sabah dan Sarawak.
“Menghormati warisan Tanah Melayu juga tidak bermaksud menafikan hak Sabah, Sarawak atau rakyat bukan Melayu. Kedua-duanya boleh dihormati serentak.
“Hanya orang yang sengaja mahu mencetuskan perbalahan akan menggambarkannya sebagai pilihan antara “Malaysia” dengan “Tanah Melayu”.
“Perkataan “Period” dan “Titik” itu pula menunjukkan nada sebenar hantaran tersebut. Ini bukan penerangan undang-undang yang tenang. Ini satu cubaan menutup perbincangan dengan nada menghina dan mencabar sensitiviti sejarah masyarakat Melayu,” dakwanya lagi.
Sian See menegaskan, Malaysia ialah nama negara ini dan Tanah Melayu ialah sebahagian daripada akar sejarah dan legasi negara ini.
“Menghormati yang satu tidak memerlukan kita menghina yang satu lagi. Itu asas kenegaraan. Bukan susah pun – kecuali kalau niat dia memang mahu cari gaduh,” kata beliau. – MalaysiaGazette
















