KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merobohkan dua struktur sangkar burung yang dibina tanpa kelulusan di Kampung Cheras Baru, Cheras Isnin lalu selepas pemiliknya ingkar terhadap empat notis penguatkuasaan dan pengosongan tapak yang dikeluarkan sebelum ini.
DBKL dalam kenyataan memaklumkan, tindakan penguatkuasaan itu dilaksanakan susulan kegagalan pemilik mematuhi dua notis di bawah Seksyen 46, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 berkaitan pembinaan struktur kekal tanpa kebenaran serta dua notis di bawah Seksyen 81, Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang menghendaki kacau ganggu dihapuskan di atas tanah rezab awam.
Menurut DBKL, operasi perobohan dan pembersihan kawasan berkenaan berjalan lancar dengan turut melibatkan penyitaan serta pemindahan 19 ekor pelbagai spesies unggas ke stor Unit Kawalan Pest, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Kesemua tindakan dilaksanakan selepas pemilik gagal mengambil tindakan sewajarnya meskipun notis telah dikeluarkan lebih awal,” menurut kenyataan itu.
DBKL turut mengingatkan orang ramai supaya mematuhi segala peraturan ditetapkan sebelum membina sebarang struktur atau memelihara unggas dan haiwan bagi mengelakkan gangguan kepada laluan awam, persekitaran dan penduduk setempat.
Orang awam yang ingin mengemukakan aduan atau menyalurkan maklumat boleh berbuat demikian melalui portal Adu@KL yang disediakan oleh DBKL. – MalaysiaGazette
















