SFZ Forest City sehingga kini menerima 260 pertanyaan pelabur diterima Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J)

ISKANDAR PUTERI – Forest City akan terus bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan tempatan dalam usaha mengekalkan kedaulatan undang-undang demi memastikan keselamatan awam kekal terpelihara.

Syarikat pembangunan hartanah tersebut dalam satu kenyataan memberitahu, cadangan mewujudkan sebuah balai polis tetap di Forest City amat dialu-akukan dan pihaknya akan memberi kerjasama penuh.

“Forest City akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan menyokong senja langkah diambil demi memelihara keselamatan, keamanan serta kesejahteraan komuniti.

“Seiring dengan pembangunan Forest City sebagai bandar antarabangsa bebas cukai baharu di rantau ini, syarikat berpandangan bahawa usaha memperkukuh polis komuniti secara berterusan wajar diberi perhatian.

“Sehubungan itu, Forest City menyambut baik cadangan penubuhan kehadiran tetap Polis Diraja Malaysia di kawasan ini dan bersedia memberikan kerjasama serta sokongan penuh bagi menjayakan inisiatif tersebut,” menurut kenyataan itu.

Tambahnya, kewujudan balai polis tetap di Forest City mampu memperkukuh usaha pencegahan jenayah, meningkatkan keupayaan tindak balas serta menyediakan akses lebih mudah kepada perkhidmatan kepolisan untuk penduduk, komuniti perniagaan dan pengunjung.

Jelas kenyataan itu, langkah tersebut secara tidak langsung akan meningkatkan keyakinan awam serta menyokong pertumbuhan berterusan Forest City sebagai sebuah bandar yang selamat dan berdaya saing.

Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata, pihaknya menahan seramai 335 individu yang menjadikan 27 unit apartment dan lima unit banglo di kawasan berkenaan sebagai ‘calling centre’ bagi aktiviti sindiket penipuan atas talian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast